DUNIA
Iran tidak akan bina bom nuklear, sedia hadapi serangan Israel

Rezaei berkata, Iran tidak pernah dan tidak akan berusaha untuk membina bom nuklear, ketika berucap di televisyen nasional, 15 Jun 2025. REUTERS
BEKAS Ketua Pengawal Revolusi, Mohsen Rezaei menegaskan bahawa Iran tidak pernah dan tidak akan berusaha membina bom nuklear.
Beliau berkata demikian pada Ahad, dua hari selepas Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran dengan tujuan untuk memusnahkan program nuklear dan peluru berpandu balistik negara itu.
"Kami sedang menunggu reaksi sekutu Israel, sama ada mereka akan berundur atau tidak. Maksudnya, lebih cepat pimpinan rasional di Amerika dan Eropah bertindak, mereka mesti menarik balik sokongan mereka terhadap Israel.
"Jika perkara ini tidak berlaku, dan kami menyaksikan Amerika Syarikat serta negara-negara lain memberikan sokongan logistik kepada Israel, pesawat mereka akan memasuki ruang udara dan bertembung dengan peluru berpandu kami. Sama ada ia pesawat British, Perancis, atau Amerika."Oleh itu, dimensi peperangan mungkin menjadi lebih serius, dan kami sedang bersiap sedia untuk menghadapi situasi tersebut. Namun, kami sentiasa berusaha untuk tidak menjadi pencetus, tetapi kami akan menjadi pihak yang mengakhirinya," katanya.
Serangan terbaru antara kedua-dua pihak turut berlaku beberapa jam sebelum kenyataan Rezaei.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa serangan tersebut telah menjejaskan program nuklear Iran, mungkin untuk tempoh beberapa tahun serta menolak gesaan antarabangsa agar bertindak dengan lebih berhemah.
Dalam masa sama, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memuji tindakan Israel dan memberi amaran kepada Iran bahawa serangan lebih dahsyat bakal menyusul.
Beliau berkata masih belum terlambat untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel, tetapi hanya jika Tehran bersetuju untuk mengurangkan secara drastik program nuklearnya dalam rundingan dengan Washington yang pada asalnya dijadual pada Ahad.
Bagaimanapun, Iran membatalkan rundingan tersebut selepas serangan mengejut Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 224 orang, dengan 90 peratus daripadanya orang awam.
Rezaei berkata Iran sedang menunggu untuk melihat pendirian sekutu Israel dalam konflik ini dan sedang membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami