DUNIA
Iran tolak tuntutan penyerahan AS, Israel dakwa lancar serangan dengan "kekuatan dahsyat"
Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran bahawa sebarang campur tangan ketenteraan AS akan membawa “kerosakan yang tidak dapat dipulihkan”. - Foto fail/REUTERS
TEHRAN: Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila Iran menolak tuntutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menyerah tanpa syarat, sementara Israel mendakwa telah melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas sasaran strategik di Iran.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menegaskan bahawa rakyat Iran “tidak akan tunduk kepada bahasa ancaman” dan memberi amaran bahawa sebarang campur tangan ketenteraan AS akan membawa “kerosakan yang tidak dapat dipulihkan”.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa Israel sedang “mengawal ruang udara Tehran” dan menyerang dengan “kekuatan dahsyat” ke atas tapak nuklear, peluru berpandu dan simbol pemerintahan Iran.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Trump atas sokongan berterusan terhadap Israel dalam konflik ini.
Israel mendakwa telah memusnahkan ibu pejabat polis Iran dan beberapa kemudahan ketenteraan lain dalam serangan udara terbaharu.
Iran pula membalas dengan melancarkan peluru berpandu hipersonik Fattah-1 dan dron ke arah Tel Aviv, dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyatakan bahawa “gelombang ke-11 Operasi Janji Sejati 3” telah dilaksanakan.
Trump, dalam kenyataan di media sosial, menegaskan bahawa beliau telah “hilang sabar” dan menuntut penyerahan tanpa syarat daripada Tehran.
Namun, beliau masih belum membuat keputusan sama ada AS akan menyertai kempen ketenteraan Israel.
“Saya mungkin lakukannya, mungkin tidak. Tiada siapa tahu apa yang saya akan lakukan,” katanya kepada wartawan di luar White House.
Pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa konflik ini berisiko mencetuskan perang serantau berskala penuh.
Beberapa negara termasuk Mesir dan China menyeru penyelesaian diplomatik segera, manakala Majlis Keselamatan PBB dijangka bersidang dalam masa terdekat.