DUNIA

Iran utamakan diplomasi dalam penyelesaian isu

Bernama 01/02/2026 | 11:00 MYT
Pezeshkian menegaskan bahawa sebarang pencerobohan atau serangan terhadap wilayah Republik Islam Iran akan dibalas dengan tindak balas yang tegas dan kuat. - Gambar fail/Reuters
TEHRAN: Presiden Masoud Pezeshkian berkata Iran menekankan kepentingan mewujudkan proses diplomatik dan mengamalkan diplomasi bermaruah berasaskan kesaksamaan dan bebas daripada sebarang ancaman, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Pezeshkian menekankan bahawa bagi Iran, penyelesaian isu melalui jalan diplomasi sentiasa menjadi keutamaan berbanding peperangan dan beliau berharap pihak lawan menyedari bahawa Iran tidak boleh dipaksa untuk berunding melalui ancaman mahupun paksaan.

Dalam satu perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, Pezeshkian menzahirkan penghargaan atas usaha negara-negara Islam yang bertanggungjawab dengan semangat persaudaraan sesama agama dalam mengurangkan ketegangan serantau serta menyokong Iran.

Beliau turut menekankan dasar prinsip Iran untuk memperkukuh pertumpuan dan sinergi dalaman serta usaha berterusan bagi memantapkan dan memperluas hubungan persahabatan dengan negara jiran dan negara Islam dalam rangka kerja dasar luar negaranya.

Merujuk kepada tindakan Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel yang bertujuan mencetuskan permusuhan, memulakan peperangan, mengenakan tekanan serta sekatan, dan memprovokasi secara langsung supaya timbul kekacauan dalaman, Presiden itu menjelaskan bahawa Iran tidak pernah mencari peperangan dan percaya ia tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak termasuk AS atau rantau itu secara keseluruhan.

Pezeshkian turut menegaskan bahawa sebarang pencerobohan atau serangan terhadap wilayah Republik Islam Iran akan dibalas dengan tindak balas yang tegas dan kuat. Namun, Iran tetap komited untuk meneruskan penyelesaian isu melalui saluran diplomasi.

Sementara itu, Presiden Mesir turut menzahirkan rasa gembira dapat berbincang dengan Pezeshkian dan mendoakan keamanan serta keselamatan bagi rakyat Iran dan semua negara di rantau itu. Beliau menegaskan bahawa tiada penyelesaian ketenteraan bagi isu yang dihadapi.

Sambil menyatakan bahawa sebarang peningkatan ketegangan akan membawa kesan negatif kepada seluruh rantau, Abdel Fattah mengisytiharkan bahawa Mesir akan meneruskan usaha mengurangkan konflik dan bersedia menyokong inisiatif diplomatik bagi kestabilan serantau.

-- BERNAMA






#Presiden Iran #Masoud Pezeshkian #serangan Amerika Syarikat #proses diplomatik #peperangan