Skip to main content

Dunia

Iraq ambil alih kepengerusian Majlis Menteri-Menteri Luar OIC, tegaskan perjuangan Palestin

Foto Media Pejabat PM Iraq menunjukkan Ali al-Zaidi hadir pada sesi pembukaan Majlis Menteri-Menteri Luar OIC ke-52 di Baghdad, Iraq, 17 Okt 2026. - REUTERS
Foto Media Pejabat PM Iraq menunjukkan Ali al-Zaidi hadir pada sesi pembukaan Majlis Menteri-Menteri Luar OIC ke-52 di Baghdad, Iraq, 17 Okt 2026. - REUTERS

Advertisement

BAGHDAD: Iraq secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada pembukaan Sesi ke-52 pertubuhan itu di Baghdad pada Sabtu, lapor Xinhua.

Mesyuarat yang bertemakan “Dialog dan Solidariti: Dua Teras Utama Bagi Mempromosikan Kedamaian dan Pembangunan Mampan”, itu menghimpunkan delegasi rasmi dari negara anggota OIC serta tetamu kehormat, termasuk Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu  Amina J. Mohammed, menurut kenyataan Kementerian Luar Iraq.

Sesi berkenaan bakal membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama, terutamanya perjuangan rakyat Palestin dan perkembangan di Semenanjung Gaza, serta hal ehwal serantau dan antarabangsa yang lebih luas, kata kenyataan itu.

"Kami menegaskan  pendirian prinsip Iraq bahawa perjuangan Palestin menjadi tumpuan utama dalam konflik di rantau ini, dan usaha memastikan keadilan buat rakyat Palestin serta menjamin hak-hak mereka adalah asas kepada keselamatan dan kestabilan serantau," kata Perdana Menteri Iraq Ali al-Zaidi dalam ucapan pembukaannya, menurut kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh pejabat medianya.

Sambil memetik bahawa kerjasama dan penerimaan perbezaan merupakan kunci kepada persefahaman bersama, mengurangkan perselisihan serta mengekalkan perpaduan ummah, al-Zaidi turut menyeru negara anggota OIC untuk mempertingkatkan usaha demi mencapai kestabilan dan kedamaian di rantau berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement