DUNIA

Iraq gesa pembentukan pakatan ketenteraan Islam hadapi dasar Israel

Bernama 14/09/2025 | 14:28 MYT
Mohammed Shia al-Sudani berkata, tiada sebab negara-negara Islam tidak boleh membentuk pasukan keselamatan bersama untuk mempertahankan diri. - Reuters
ISTANBUL: Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani menggesa penubuhan satu pakatan ketenteraan Islam pada Ahad dengan menegaskan bahawa tindakan terbaharu Israel di Gaza dan Qatar memerlukan respons bersama, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Al-Sudani berkata serangan udara Israel pada Selasa di Doha yang mengorbankan lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar merupakan "pelanggaran undang-undang antarabangsa yang mengejutkan" serta peringatan bahawa tindakan Israel mengancam keselamatan seluruh rantau itu.

"Tiada sebab negara-negara Islam tidak boleh membentuk pasukan keselamatan bersama untuk mempertahankan diri," katanya kepada saluran Al Jazeera Qatar, sambil menggesa negara Arab dan Islam membina kerjasama politik, keselamatan dan ekonomi yang menyeluruh.

Kenyataannya dibuat ketika persiapan sedang dijalankan bagi Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha untuk membincangkan kesan serangan Israel ke atas Qatar. Mesyuarat itu juga dijangka menyaksikan pengaktifan pasukan ketenteraan Arab bersama yang telah lama dicadangkan, satu inisiatif yang pertama kali dikemukakan oleh Mesir hampir sedekad lepas.

Perdana Menteri Iraq itu menegaskan dunia Islam memiliki "pelbagai pengaruh" yang boleh digunakan untuk menghalang Israel, sambil memberi amaran bahawa "pencerobohan Israel tidak akan berhenti di Qatar." Beliau turut merujuk kepada apa yang digambarkannya sebagai pembunuhan sistematik di Gaza sejak hampir dua tahun lepas.

Qatar akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam pada 15 hingga 16 Sept sebagai respons terhadap serangan Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha.

Serangan itu mengenai sebuah kawasan kediaman ketika para pemimpin Hamas sedang membincangkan cadangan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Gaza, yang setakat ini telah meragut lebih 64,800 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA

#Iraq #pakatan ketenteraan Islam #Israel #keselamatan