Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Iraq: Lebih 20 pemimpin Daish terbunuh dalam serangan udara pada 2025

Bernama 17/08/2025 | 08:45 MYT
Pasukan keselamatan Iraq masih memburu saki-baki Daish, dengan kerap menyasarkan perhimpunan militan, khususnya di utara dan barat negara itu. - Foto Reuters
BAGHDAD: Sebuah jawatankuasa parlimen Iraq mendedahkan bahawa serangan udara pada 2025 menumpaskan lebih 20 pemimpin utama dalam struktur Daish, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).


Ringkasan AI
  • Serangan udara pada tahun 2025 di Iraq berjaya menumpaskan lebih 20 pemimpin utama Daish, termasuk Abu Khadija, ketua pengganas yang sangat berbahaya di peringkat global.
  • Operasi khas ini dijalankan hasil pemantauan risikan dan kerjasama antara tentera udara Iraq dan pasukan antarabangsa, menyasarkan lokasi terpencil seperti Wadi Al Shai di wilayah Salah Al-Din.
  • Jawatankuasa Keselamatan dan Pertahanan Parlimen Iraq menyatakan operasi ini memberi kesan besar terhadap aktiviti Daish, serta menyumbang kepada peningkatan keselamatan dan kestabilan negara.


Jawatankuasa itu menjelaskan operasi bersifat kualitatif ini memberi kesan besar terhadap aktiviti Daish dan menyumbang kepada peningkatan keselamatan serta kestabilan negara.

Jawatankuasa Keselamatan dan Pertahanan Parlimen Iraq dalam satu kenyataan memaklumkan tentera udara memainkan peranan penting dan berkesan dalam menumpaskan Daish, sambil menegaskan serangan udara sebelum ini di kawasan terpencil membuktikan kemampuan untuk mencapai mana-mana lokasi dalam geografi Iraq.

Pihak berkuasa Iraq pada Sabtu mengumumkan pembunuhan sekumpulan anggota Daish dalam dua serangan udara di utara Iraq.

Komando Operasi Bersama Iraq dalam satu kenyataan berkata serangan pertama dilakukan selepas beberapa hari pemantauan risikan, ketika satu perhimpunan besar Daish di Wadi Al Shai, timur wilayah Salah Al-Din.

Serangan itu memusnahkan lokasi berkenaan dan mengakibatkan kematian sejumlah anggotanya.

Pasukan keselamatan Iraq masih memburu saki-baki Daish, dengan kerap menyasarkan perhimpunan militan, khususnya di utara dan barat negara itu.

-- BERNAMA





#Iraq #daish #serangan udara #pemimpin utama tumpas