DUNIA

Iraq mulakan pengundian awal bagi anggota keselamatan

Bernama 09/11/2025 | 22:30 MYT
Petugas pilihan raya mengira kertas undi selepas tamat proses pengundian menjelang pilihan raya parlimen di Baghdad, Iraq, 9 Nov 2025. (Foto AP)
BAGHDAD: Iraq memulakan pengundian awal pada Ahad bagi anggota pasukan keselamatan dan penduduk yang dipindahkan, menjelang pilihan raya parlimen negara itu yang dijadual diadakan pada Selasa, lapor Xinhua memetik pegawai tempatan.

Pusat mengundi di seluruh negara dibuka pada pukul 7 pagi (0400 GMT) dan ditutup pada pukul 6 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Tertinggi (IHEC).

Lebih 1.3 juta anggota pasukan keselamatan dan kira-kira 26,000 penduduk yang dipindahkan layak mengundi di 809 pusat mengundi di seluruh negara, kata pegawai IHEC, Fadia Saleh Mahdi.

Penyertaan anggota keselamatan menandakan fasa pertama pilihan raya peringkat kebangsaan yang menyaksikan 7,744 calon, termasuk lebih 2,200 wanita, bersaing untuk merebut 329 kerusi dalam Majlis Perwakilan.

Di sebuah pusat mengundi di Daerah Mansour, Baghdad, Kolonel Kementerian Dalam Negeri Muayad al-Jabri berkata pasukan keselamatan memperketat kawalan di sekitar pusat mengundi dan kawasan berdekatan bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

IHEC memaklumkan bahawa sebanyak 8,703 pusat mengundi telah disediakan bagi menampung lebih 21 juta pengundi berdaftar untuk pilihan raya umum pada 11 Nov, yang dianggap sebagai ujian penting bagi sistem demokrasi Iraq.

-- BERNAMA







#pilihan raya #undi awal #Iraq #Parlimen