[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
INTERNATIONAL

Ireland bakal jadi negara EU pertama haramkan perdagangan dengan wilayah jajahan Israel

Agensi 28/05/2025 | 00:20 MYT
Harris berharap langkah Ireland akan menjadi contoh kepada negara lain dalam Kesatuan Eropah. - Gambar fail Reuters
DUBLIN: Ireland kini mengambil langkah untuk menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah (EU) yang mengharamkan perdagangan dengan wilayah Palestin yang diduduki secara haram oleh Israel.

Langkah yang diumumkan pada Selasa itu diambil seminggu selepas EU mengarahkan semakan semula terhadap EU-Israel Association Agreement – satu perjanjian kerjasama yang ditandatangani pada tahun 1995 dan menjadi asas hubungan perdagangan antara EU dan Israel.

Perkembangan ini dilihat sebagai tekanan yang semakin meningkat terhadap Israel di peringkat antarabangsa berhubung tindakan ketenteraannya dan pendudukan wilayah Palestin yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.

Langkah ini juga diambil susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tahun lalu yang menyatakan bahawa penjajahan Israel ke atas Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.

Keputusan itu menjadi asas pertimbangan kerajaan Ireland.

“Kabinet telah bersetuju untuk meneruskan penggubalan undang-undang yang melarang perdagangan barangan dari penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki,” menurut kenyataan Kementerian Luar Ireland.

“Pandangan kerajaan adalah bahawa langkah ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.”

Penempatan haram yang dimaksudkan merangkumi kawasan kediaman, pertanian dan perniagaan yang terletak di luar sempadan Israel yang diiktiraf secara antarabangsa.

Sebelum keputusan Kabinet itu diumumkan, Menteri Luar, Simon Harris berkata kepada media, beliau berharap langkah Ireland ini akan menjadi contoh kepada negara lain dalam Kesatuan Eropah.

“Apa yang saya harapkan hari ini ialah apabila sebuah negara kecil di Eropah membuat keputusan ini - menjadi antara negara pertama dan mungkin yang pertama di dunia Barat yang mempertimbangkan undang-undang seperti ini - ia akan memberi inspirasi kepada negara Eropah lain untuk turut serta,” katanya. - Agensi





#Ireland #Israel #Kesatuan Eropah #haram perdagangan #Penempatan haram Israel