TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa sebuah kapal tangki minyak gergasi terbakar selepas melanggar periuk api laut ketika melalui Selat Hormuz.
Menurut laporan media Iran yang memetik IRGC, kapal berkenaan dipercayai menggunakan laluan yang tidak dibenarkan ketika cuba merentasi selat strategik itu.
IRGC turut mendakwa kapal tangki tersebut telah menutup sistem pengesanannya sebelum insiden berlaku.
Penyiar milik kerajaan Iran, Press TV, menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan letupan dan kebakaran melibatkan supertanker berkenaan selepas ia melanggar periuk api di perairan itu.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai identiti kapal, jumlah anak kapal atau kemungkinan korban tidak didedahkan setakat ini.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, khususnya bagi perdagangan minyak global, dan kebelakangan ini menjadi tumpuan susulan peningkatan ketegangan keselamatan maritim di rantau Teluk.
Pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan maklumat lanjut mengenai punca sebenar kejadian atau tahap kerosakan yang dialami kapal tersebut.