[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Israel akan runtuhkan 25 rumah di kem pelarian Nur Shams, Tebing Barat

Astro Awani 16/12/2025 | 00:30 MYT
Penduduk Kem Pelarian Nur Shams di Tebing Barat, Tulkarem, meninggalkan kediaman mereka ketika operasi tentera Israel di kawasan itu masih diteruskan. - Foto AP
TULKAREM: Tentera Israel dijadualkan merobohkan 25 bangunan kediaman di Kem Pelarian Nur Shams, yang terletak di wilayah Tebing Barat yang diduduki, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.

Gabenor Tulkarem, Abdallah Kamil, memaklumkan kepada agensi berita AFP bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai perintah perobohan itu oleh COGAT, badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang menyelia hal ehwal awam di wilayah Palestin yang diduduki.

Faisal Salama, ketua jawatankuasa rakyat bagi Kem Tulkarem yang berhampiran Nur Shams, berkata perintah itu akan menjejaskan sehingga 100 buah keluarga yang tinggal di 25 bangunan tersebut.

“Kami diberitahu bahawa kawasan ini akan diratakan dalam masa terdekat,” katanya.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada “Operasi Tembok Besi” yang dilancarkan Israel sejak Januari lalu, kononnya untuk membanteras kumpulan bersenjata Palestin di kem pelarian di utara Tebing Barat.

Namun, kumpulan hak asasi manusia mengkritik tindakan itu sebagai cubaan untuk “mengurung” penduduk Palestin dan menafikan hak tempat tinggal mereka.

Setakat ini, COGAT belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung perintah perobohan tersebut.

Ketegangan di kawasan itu terus meningkat sejak beberapa bulan lalu, dengan serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian sering mencetuskan pertempuran dan kematian.




#Israel #roboh #kem pelarian #Tebing Barat