INTERNATIONAL
Israel batal visa 27 Ahli Parlimen Perancis selepas Presiden Macron umum bakal iktiraf Palestin
Netanyahu sebelum ini mengecam keras kemungkinan pengiktirafan negara Palestin oleh Perancis, dengan mendakwa, ia merupakan satu “ganjaran besar kepada keganasan.” - Gambar fail Reuters
PARIS: Kerajaan Israel membatalkan visa untuk 27 Ahli Parlimen dan pegawai tempatan berhaluan kiri dari Perancis, hanya dua hari sebelum mereka dijadual memulakan lawatan rasmi ke Israel dan wilayah Palestin pada Ahad, menurut kenyataan kumpulan tersebut.
Tindakan itu diambil hanya beberapa hari selepas dua Ahli Parlimen dari Parti Buruh Britain turut dihalang memasuki negara tersebut.
Insiden terbaharu ini berlaku dalam suasana hubungan diplomatik yang semakin tegang selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron menyatakan Perancis bakal mengiktiraf negara Palestin dalam masa terdekat.
Kementerian Dalam Negeri Israel memaklumkan, visa kumpulan tersebut dibatalkan berdasarkan undang-undang yang membenarkan larangan kemasukan terhadap individu yang dianggap boleh bertindak bertentangan dengan kepentingan negara Israel.
Daripada jumlah itu, 17 orang merupakan wakil parti Ecologist dan Komunis Perancis.
Mereka menyifatkan tindakan Israel sebagai satu bentuk “hukuman kolektif” dan menyeru Presiden Macron untuk campur tangan.
Menerusi satu kenyataan, mereka menjelaskan, lawatan selama lima hari yang dianjurkan oleh Konsulat Perancis di Baitulmaqdis itu bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memupuk budaya keamanan.
“Buat pertama kali, dua hari sebelum berlepas, pihak berkuasa Israel membatalkan visa kami yang telah diluluskan sebulan lalu,” jelas kenyataan itu.
“Kami mahu mengetahui sebab sebenar keputusan mendadak ini, yang kelihatan seperti hukuman kolektif,” kata kumpulan tersebut lagi.
Delegasi berkenaan turut melibatkan wakil-wakil rakyat seperti Francois Ruffin, Alexis Corbiere dan Julie Ozenne dari parti Ecologist, selain Ahli Parlimen Komunis Soumya Bourouaha dan Senator Komunis Marianne Margate.
Selebihnya terdiri daripada Datuk Bandar dan penggubal undang-undang tempatan berhaluan kiri.
Mereka menyifatkan larangan itu sebagai satu “keretakan besar dalam hubungan diplomatik” dan menggesa agar satu pertemuan segera diadakan bersama Macron, selain tindakan susulan oleh kerajaan Perancis bagi memastikan kemasukan mereka ke Israel dibenarkan.
Difahamkan, parti-parti yang terlibat telah sekian lama menyokong pengiktirafan negara Palestin - satu pendirian yang Macron nyatakan berkemungkinan dilaksanakan pada satu persidangan antarabangsa pada Jun nanti.
Terdahulu, bulan ini dua Ahli Parlimen Britain - Yuan Yang dan Abtisam Mohamed turut ditahan di Lapangan Terbang Tel Aviv dan dihantar pulang, atas alasan yang sama.
Setiausaha Luar Britain, David Lammy menyifatkan tindakan Israel itu sebagai “tidak boleh diterima.”
Pada Februari lalu, dua lagi Ahli Parlimen Eropah - Rima Hassan yang berketurunan Palestin-Perancis dan Lynn Boylan dari Ireland turut dihalang memasuki Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini mengecam keras kemungkinan pengiktirafan negara Palestin oleh Perancis, dengan mendakwa, ia merupakan satu “ganjaran besar kepada keganasan.” - Arab News