BEIRUT: Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas sebuah bangunan di kampung Deir al-Zahrani, daerah Nabatieh di selatan Lubnan, beberapa minit selepas mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Jurucakap tentera Israel, Ella Waweya, menerusi satu hantaran di platform X menggesa penduduk yang mendiami bangunan tersebut serta rumah berhampiran supaya meninggalkan kawasan itu dengan segera sebelum serangan dilancarkan.
Menurut beliau, serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap pelancaran dron bermuatan bahan letupan oleh pejuang Hezbollah ke arah kedudukan tentera Israel di selatan Lubnan.
Setakat ini, tiada maklumat rasmi dikeluarkan mengenai jumlah mangsa atau tahap kerosakan akibat serangan tersebut.
Insiden itu berlaku ketika ketegangan di sempadan Lubnan-Israel terus berlarutan walaupun perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat masih berkuat kuasa.
Serangan dan operasi ketenteraan antara kedua-dua pihak dilaporkan terus berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Israel kini menguasai kira-kira lima peratus wilayah Lubnan di sepanjang kawasan sempadan yang membentang sehingga 10 kilometer dari Garisan Biru, sempadan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara Lubnan dan Israel.
Perkembangan terbaharu itu menambah kebimbangan terhadap kemungkinan konflik yang lebih meluas di selatan Lubnan, ketika usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan masih belum menunjukkan hasil yang ketara.