Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

Israel bertegas mahu kekal kawal Gaza, tolak campur tangan negara luar - Netanyahu

Agensi 27/10/2025 | 00:30 MYT
Netanyahu memaklumkam kepada Kabinetnya, Israel akan menentukan sendiri bila dan di mana untuk bertindak terhadap musuhnya, termasuk memutuskan negara mana yang dibenarkan menghantar pasukan keselamatan ke Gaza.
BAITULMAQDIS: Israel menegaskan pendiriannya untuk terus mengekalkan kawalan keselamatan sepenuhnya di Semenanjung Gaza, meskipun bersetuju dengan pelan gencatan senjata yang diselaraskan oleh Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu memaklumkam kepada Kabinetnya, Israel akan menentukan sendiri bila dan di mana untuk bertindak terhadap musuhnya, termasuk memutuskan negara mana yang dibenarkan menghantar pasukan keselamatan ke Gaza.

“Israel adalah negara merdeka. Kami akan pertahankan diri dengan cara kami sendiri dan menentukan nasib kami tanpa perlu persetujuan sesiapa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, rakaman Agensi Berita AFP menunjukkan konvoi bantuan dari Mesir telah memasuki Gaza, membawa pasukan penyelamat dan jentera berat bagi mempercepatkan pencarian baki tebusan Israel yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Konvoi tersebut, yang membawa jentolak dan jentera pengorek, diiringi lori pembuangan sampah dan menuju ke pusat bantuan Mesir di Al-Zawayda.

Jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian, mengesahkan kemasukan pasukan Mesir itu telah diluluskan oleh Netanyahu.

“Pasukan ini bersifat teknikal sepenuhnya dan tiada anggota tentera terlibat. Mereka dibenarkan masuk ke Gaza melepasi ‘Garis Kuning’ IDF untuk menjalankan operasi pencarian,” katanya.

Mengikut terma gencatan senjata yang dirangka AS, Gaza sepatutnya dikawal oleh pasukan antarabangsa yang terdiri daripada negara Arab atau Islam selepas pengunduran tentera Israel. Namun, Israel menolak penglibatan negara pesaing seperti Turkiye.

Netanyahu yang kini berdepan tekanan daripada puak berhaluan kanan dalam kerajaan gabungannya, menegaskan Israel akan menentukan sendiri pasukan antarabangsa yang dibenarkan.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut menyokong pendirian Israel bahawa sebarang pasukan penguatkuasa gencatan senjata perlu mendapat kelulusan Tel Aviv.

“Gaza akan dilucutkan senjata dan Hamas tidak akan mempunyai sebarang peranan dalam pentadbiran Palestin,” tegas Bedrosian.

Walaupun tentera Israel telah berundur ke ‘Garis Kuning’, mereka masih mengawal lebih separuh wilayah Gaza dan meluluskan setiap konvoi bantuan yang memasuki sempadan.

Netanyahu turut mendedahkan Israel telah melancarkan serangan udara pada 19 Oktober, membedil Gaza dengan 150 tan peluru selepas dua askarnya terbunu dan satu lagi serangan pada Sabtu menyasarkan pejuang Palestin.

Sementara itu, AS dan sekutunya telah menubuhkan Pusat Penyelarasan Awam-Ketenteraan (CMCC) di selatan Israel bagi memantau pematuhan gencatan senjata, dengan kehadiran beberapa pegawai kanan dari pentadbiran Presiden Donald Trump. - Agensi




#Israel #Benjamin Netanyahu #Israel mahu kawal Gaza #Hamas