DUNIA

Israel bunuh 15 wartawan termasuk 3 wanita pada Ogos - Kesatuan Wartawan Palestin

Bernama 06/09/2025 | 06:30 MYT
Jawatankuasa Kebebasan kesatuan itu mendokumentasikan sejumlah 86 pelanggaran dan jenayah terhadap wartawan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sepanjang bulan tersebut. - Gambar/ Reuters
RAMALLAH: Kesatuan Wartawan Palestin melaporkan bahawa tentera pendudukan Israel membunuh 15 wartawan, termasuk tiga wartawan wanita, sepanjang Ogos 2025.


Ringkasan AI
  • Tentera Israel membunuh 15 wartawan Palestin sepanjang Ogos 2025, termasuk tiga wanita, dengan insiden berdarah berlaku di Hospital Al-Shifa dan Hospital Nasser.
  • Sebanyak 86 pelanggaran terhadap wartawan direkodkan, termasuk kecederaan serius, penahanan, serangan fizikal, sekatan liputan, dan hasutan bunuh oleh tokoh media Israel.
  • Kesan turut dirasai oleh keluarga wartawan, melibatkan kematian saudara-mara dan kemusnahan rumah mereka akibat serangan.


Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Jawatankuasa Kebebasan kesatuan itu mendokumentasikan sejumlah 86 pelanggaran dan jenayah terhadap wartawan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sepanjang bulan tersebut.

Antara wartawan yang terbunuh ialah Marwa Muslim, Mariam Abu Daqqa, dan Islam Abed. Sembilan wartawan lagi cedera dengan tahap kecederaan berbeza, termasuk kes yang menyebabkan pemotongan anggota badan dan lumpuh kekal.

Insiden paling berdarah termasuk pembunuhan enam wartawan berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza pada 10 Ogos, serta pembunuhan lima wartawan dan mencederakan empat yang lain di Hospital Nasser di Khan Yunis pada 25 Ogos.

Sekurang-kurangnya enam wartawan mengalami kecederaan serius akibat serpihan dan tembakan peluru hidup, dengan sebahagian mereka menjadi cacat kekal. Selain itu, tiga saudara-mara wartawan turut terbunuh dan empat rumah keluarga wartawan musnah.

Laporan itu juga merekodkan penahanan wartawan Farah Abu Ayash, Muath Amarneh dan Asid Amarneh.

Selain itu, enam serangan langsung melibatkan pemukulan fizikal terhadap pasukan media dilaporkan, di samping 33 kes wartawan dihalang daripada membuat liputan di Tebing Barat, termasuk di Al-Mughayyir, Beit Dajan, Ramallah dan Nablus.

Tiga serangan oleh peneroka Israel terhadap wartawan turut direkodkan, selain tiga insiden hasutan untuk membunuh wartawan oleh tokoh media Israel serta akaun media sosial rasmi, yang secara langsung menyumbang kepada pembunuhan wartawan di Gaza.

-- BERNAMA




#Genosid Gaza #wartawan Palestin #pembunuhan wartawan #kekejaman israel