[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Israel dakwa Iran langgar gencatan senjata, arah operasi tentera berskala besar terhadap Tehran

Astro Awani 24/06/2025 | 08:15 MYT
Katz (foto) mengarahkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Tehran selepas Iran didakwa melanggar gencatan senjata dengan melancarkan peluru berpandu ke wilayah Israel. -Gambar fail/Reuters
TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap Tehran selepas mendakwa Iran melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai awal hari ini.

Ringkasan AI
  • Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Tehran selepas Iran didakwa melanggar gencatan senjata dengan melancarkan peluru berpandu ke wilayah Israel.
  • Tentera Israel memintas serangan tersebut tanpa korban jiwa, dan melancarkan serangan balas ke atas infrastruktur penting Iran termasuk penjara dan kemudahan tenaga.
  • Tindakan ini menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan dan jangka hayat perjanjian damai yang dimediasi oleh Presiden AS Donald Trump dan diterima oleh kedua-dua pihak.

Menurut laporan Reuters, arahan itu dikeluarkan selepas tentera Israel mendakwa mengesan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Iran ke arah wilayahnya, kurang tiga jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan gencatan senjata berkuat kuasa.
“Saya telah arahkan operasi intensif terhadap sasaran di tengah Tehran,” kata Katz, yang menegaskan bahawa Israel tidak akan berdiam diri terhadap sebarang pelanggaran perjanjian yang dipersetujui.
Tentera Israel melaporkan peluru berpandu Iran berjaya dipintas dan tiada kerosakan atau korban jiwa dilaporkan dalam serangan terbaharu itu.
Serangan balas Israel termasuk sasaran ke atas infrastruktur penting seperti penjara dan kemudahan kawalan tenaga, selain penyusupan sistem udara Tehran.
Dalam reaksi balas, media kerajaan Iran, dalam kenyataan terbaharu, menafikan dakwaan Israel bahawa negara itu telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang diumumkan awal hari ini.
Tehran memaklumkan bahawa semua pelancaran peluru berpandu telah diselesaikan sebelum gencatan kuasa berkuat kuasa.
“Gencatan senjata bermula susulan empat gelombang serangan Iran ke atas wilayah diduduki Israel,” kata media rasmi Press TV yang menegaskan bahawa tiada lagi serangan selepas tempoh dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Gencatan senjata yang dimediasi oleh Trump sebelum ini telah diterima oleh kedua-dua pihak, termasuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang mendakwa bahawa Israel telah mencapai semua objektif ketenteraan dalam Operasi Rising Lion.
#Benjamin Netanyahu #konflik Israel-Iran #pelanggaran gencatan senjata #Donald Trump