Skip to main content

Dunia

Israel dakwa ketua keselamatan Hamas ditahan dalam operasi khas di Gaza

A destroyed vehicle is seen on a street following an Israeli military strike in Gaza City, Tuesday, Sept. 1, 2026. (AP Photo/Yousef Al Zanoun)
Kenderaan yang musnah kelihatan di sebuah jalan raya susulan serangan tentera Israel di Bandaraya Gaza. - Foto AP
Advertisement

BANDARAYA GAZA: Israel mendakwa berjaya menahan seorang pemimpin kanan Hamas yang mengetuai perkhidmatan keselamatan dalaman kumpulan itu dalam satu operasi khas di Bandaraya Gaza, ketika serangan udara yang mengiringi operasi berkenaan dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata individu terbabit ditangkap dalam operasi pasukan khas Israel di Gaza, namun identitinya tidak didedahkan.

Menurut Netanyahu, suspek memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan pentadbiran Hamas di Gaza selain terlibat dalam isu berkaitan pelucutan senjata di wilayah itu.

Tentera Israel (IDF) dan agensi keselamatan Shin Bet dalam kenyataan bersama memaklumkan anggota pasukan khas mereka menahan pemimpin keselamatan Hamas itu di Bandar Gaza pada Selasa sebelum membawanya ke Israel untuk disoal siasat.

"Pasukan khas Shin Bet memasuki sebuah bangunan di kawasan Bandar Gaza dan berjaya menahan ketua keselamatan dalaman Hamas di Semenanjung Gaza," menurut kenyataan itu.

Agensi berkenaan turut memaklumkan Tentera Udara Israel melancarkan beberapa serangan di kawasan operasi bagi menghapuskan ancaman terhadap pasukan yang terlibat, sambil menegaskan tiada anggota Israel cedera.

Bagaimanapun, pegawai perubatan Palestin berkata sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan ketika operasi berkenaan.

Penduduk di kawasan Katiba di barat Bandar Gaza melaporkan berlaku pengeboman hebat pada pagi Selasa, dengan dua kenderaan musnah akibat serangan.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan suasana kelam-kabut di lokasi kejadian, disertai bunyi tembakan dan kesan kemusnahan akibat serangan.

Seorang penduduk, Wafika al-Helou, berkata kenderaan tentera berhenti di tengah jalan sebelum melepaskan tembakan secara rambang selama lebih 15 minit.

"Keadaan itu amat menakutkan. Tembakan dilepaskan ke semua arah tanpa henti," katanya.

Seorang lagi saksi, Mutaz Abu Asr, mendakwa lima hingga enam letupan berlaku dalam tempoh kurang tiga minit.

Media Palestin melaporkan pasukan khas Israel dan anggota militia Palestin yang disokong Israel memasuki kawasan berkenaan, namun kehadiran mereka disedari penduduk setempat.

Beberapa media Israel pula melaporkan hanya kumpulan bersenjata tempatan terlibat dalam operasi darat itu.

Jurucakap Pejabat Media Kerajaan Gaza yang ditadbir Hamas, Ismail al-Thawabta, berkata pasukan khas Israel cuba melaksanakan operasi keselamatan di Bandaraya Gaza tetapi operasi itu didakwa terbongkar ketika sedang dijalankan.

Beliau mendakwa serangan susulan Israel menyebabkan beberapa penduduk terbunuh dan cedera, selain mengorbankan beberapa anggota pasukan khas yang terlibat, namun dakwaan itu tidak disahkan oleh pihak Israel.

Hamas dalam satu kenyataan mengecam operasi tersebut dan menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap gencatan senjata.

Menurut kumpulan itu, serbuan dan serangan udara di kawasan padat penduduk terbabit menunjukkan sikap tidak menghiraukan keselamatan orang awam serta meneruskan penderitaan penduduk Gaza.

Sementara itu, Netanyahu memuji tindakan pasukan khas Israel yang berjaya melaksanakan apa yang disifatkannya sebagai operasi berani berhampiran kediaman pemimpin Hamas berkenaan.

Beliau mendakwa individu yang ditahan itu antara tokoh paling kanan dalam Hamas dan bertanggungjawab menyembunyikan serta memindahkan tebusan Israel, melindungi kepimpinan kanan kumpulan itu selain membantu memperkukuhkan semula keupayaan ketenteraan Hamas.

Dalam insiden berasingan pada hari sama, pegawai hospital di tengah Gaza melaporkan seorang kanak-kanak perempuan Palestin maut akibat tembakan tentera Israel berhampiran bandar Deir al-Balah.

Tentera Israel turut memaklumkan ia melancarkan serangan ke atas seorang komander sayap ketenteraan Hamas di kawasan Jabalia, utara Bandaraya Gaza, dengan mendakwa individu itu menimbulkan ancaman segera terhadap pasukannya.

Perang di Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan 251 lagi dijadikan tebusan.

Sejak itu, lebih 73,000 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh di Gaza menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang ditadbir Hamas.

 

 

Must Watch Video

Advertisement