TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mendakwa bahawa Menteri Perisikan Iran, Esmail Khatib, telah terkorban dalam satu serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel malam tadi.
Dakwaan terbaharu itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi hari ini, yang jika disahkan, bakal menjadikan Esmail Khatib sebagai pemimpin kanan ketiga Iran yang maut dalam siri serangan udara disasarkan di Tehran dalam tempoh 24 jam, lapor Al Jazeera.
Advertisement
Terdahulu, Iran mengesahkan kematian Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, Ali Larijani, dan Komander unit Basij, Gholamreza Soleimani.
Setakat ini, pihak berkuasa Iran masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan pembunuhan menteri perisikan berkenaan.
Esmail Khatib merupakan watak utama dalam struktur keselamatan Iran yang bertanggungjawab terhadap operasi risikan domestik dan antarabangsa serta keselamatan dalaman republik itu.
Siri serangan yang menyasarkan rantaian kepimpinan tertinggi Iran ini dilihat sebagai usaha berterusan pakatan Amerika Syarikat-Israel untuk melumpuhkan pusat arahan dan kawalan Tehran di tengah-tengah konflik bersenjata yang semakin meruncing.
Situasi di ibu negara Iran dilaporkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap tertinggi ketika upacara pengebumian Ali Larijani dan Gholamreza Soleimani yang dijadualkan berlangsung hari ini.