DUNIA

Israel dakwa rampas ‘kawasan luas’ Gaza, serangan udara ragut 23 nyawa

Agensi 10/04/2025 | 01:15 MYT
Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan, serangan udara ke atas bangunan kediaman di Bandar Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 23 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Gambar Reuters
GAZA: Rejim Zionis pada Rabu mendakwa tenteranya menguasai kawasan luas di Gaza dan menjadikan wilayah Palestin itu “lebih kecil dan terasing.”

Tentera Israel juga membunuh sekurang-kurangnya 23 orang dalam serangan udara ke atas sebuah blok kediaman.

Kenyataan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz itu dikeluarkan ketika tentera Israel melancarkan semula serangan besar-besaran ke atas wilayah yang telah musnah akibat perang, menyebabkan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal dan sekatan bantuan pula memburukkan ancaman kebuluran terhadap 2.4 juta penduduk Gaza.

“Kawasan luas sedang dirampas dan ditambah ke zon keselamatan Israel, menjadikan Gaza lebih kecil dan lebih terasing,” dakwa Katz ketika melawat Koridor Morag yang baru diumumkan antara bandar selatan Rafah dan Khan Younis.

Katz memberi amaran, Israel akan terus meningkatkan tekanan ke atas Gaza “sehingga semua tebusan dibebaskan dan Hamas dikalahkan.”

Ketika ruang untuk penduduk Gaza semakin sempit akibat zon penampan yang berkembang, Katz berkata, Israel sedang menyokong rancangan untuk "penghijrahan sukarela... selaras dengan visi Presiden Amerika Syarikat (AS)" yang sedang diusahakan untuk dilaksanakan.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mencadangkan rancangan untuk membangunkan Gaza sebagai "Riviera Timur Tengah" dengan memindahkan populasinya ke tempat lain.

Sementara itu, tentera Israel meneruskan serangan pada Rabu.

Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan, serangan udara ke atas bangunan kediaman di Bandar Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 23 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan “seorang pemimpin kanan Hamas.”

Jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal berkata, serangan berlaku di kejiranan Shujaiya dan menyebabkan lebih 60 orang cedera.

“Jumlah korban daripada pembunuhan beramai-ramai di Shujaiya meningkat kepada 23 orang syahid, termasuk lapan kanak-kanak dan lapan wanita,” katanya.

“Masih ada orang yang terperangkap di bawah runtuhan.”

Ayub Salim, 26, saksi kejadian dari Shujaiya berkata, bangunan empat tingkat itu diserang dengan "beberapa peluru berpandu" dan kawasan itu “padat dengan khemah, penduduk yang dipindahkan dan rumah-rumah.”

“Serpihan beterbangan ke semua arah... habuk dan kemusnahan menyelubungi kawasan itu sepenuhnya. Kami tak nampak apa-apa, hanya terdengar jeritan dan panik orang ramai,” katanya.

Salim berkata, mayat mangsa “hancur berkecai” dan operasi menyelamat masih berlangsung.

“Kami mengeluarkan mayat wanita dan kanak-kanak. Masih ada yang tertimbus di bawah runtuhan,” kata penyelamat Ibrahim Abu Al-Rish.

Apabila ditanya mengenai serangan itu, tentera Israel mendakwa, mereka menyasarkan “seorang pengganas kanan Hamas” yang terlibat merancang serangan terhadap Israel, namun tidak mendedahkan nama sasaran tersebut.

Hamas mengutuk serangan itu sebagai salah satu “jenayah genosid paling kejam”, manakala Kementerian Luar Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Ramallah menyifatkannya sebagai “pembunuhan beramai-ramai yang keji.”

“Ia merupakan percubaan rasmi Israel untuk membunuh rakyat Palestin secara sistematik dan memusnahkan asas kewujudan mereka di Gaza - seterusnya memaksa mereka berhijrah,” kata kementerian itu.

Israel menyambung semula serangan berskala besar ke atas Gaza pada 18 Mac lalu, sekaligus, menamatkan gencatan senjata dua bulan dengan Hamas.

Usaha untuk memulihkan gencatan itu masih gagal.

Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, sekurang-kurangnya 1,482 rakyat Palestin terbunuh sejak operasi baharu bermula, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak perang bermula mencecah 50,846 orang.

Serangan Hamas pada Oktober 2023, yang mencetuskan perang ini, telah mengorbankan 1,218 orang di pihak Israel, kebanyakannya orang awam.

Ahli Biro Politik Hamas, Hossam Badran, berkata kepada AFP bahawa “gencatan senjata amat diperlukan.”
Trump dan Perdana Menteri Israe,l Benjamin Netanyahu pula memaklumkan pada Isnin bahawa rundingan baharu sedang diusahakan bagi membebaskan lebih ramai tebusan dari Gaza. - Agensi




#perang Hamas-Israel #serangan udara Israel #gencatan senjata #rejim Zionis