ISLAMABAD: Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Aref berkata hasil rundingan damai peringkat tinggi di sini bergantung kepada keutamaan yang ditetapkan oleh pihak Amerika Syarikat (AS), sama ada menumpukan kepada kepentingan domestik mereka atau sebaliknya.
Dalam satu hantaran di platform X pada Sabtu, Mohammad Reza Aref menyatakan perjanjian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta masyarakat antarabangsa berpotensi dicapai sekiranya wakil AS memberi tumpuan kepada kepentingan sendiri tanpa dipengaruhi agenda luar.
Advertisement
Bagaimanapun, beliau memberi peringatan terhadap sebarang pendekatan yang didakwanya mengutamakan kepentingan Israel dalam rundingan tersebut.
“Jika kita berhadapan dengan wakil yang mendahulukan ‘Israel First’, tiada perjanjian akan dicapai. Iran tidak mempunyai pilihan selain memperkukuh pertahanannya,” katanya.
Mohammad Reza Aref turut menyatakan kegagalan mencapai persetujuan berisiko meningkatkan kos kemanusiaan dan ekonomi global akibat konflik yang berlarutan.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika delegasi Amerika Syarikat yang diketuai Naib Presiden JD Vance dan delegasi Iran pimpinan Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf telah tiba di ibu negara Pakistan bagi memulakan pusingan rundingan diplomatik.
Rundingan yang berlangsung di Islamabad itu dilihat sebagai antara usaha penting bagi meredakan konflik yang telah berlarutan selama enam minggu di Asia Barat, dengan komuniti antarabangsa memantau rapat perkembangan perbincangan berkenaan.