DUNIA

Israel hantar lebih banyak kereta kebal ke Gaza

Astro Awani 01/09/2025 | 23:00 MYT
Kereta kebal Israel berada di bahagian sempadan Israel yang menghadap Gaza. - Foto REUTERS
KAHERAH: Israel menghantar kereta kebalnya lebih jauh ke dalam Bandaraya Gaza dan meletupkan kenderaan sarat bahan letupan di sebuah kawasan penempatan pada Isnin, ketika serangan udara rejim itu mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang, menurut pegawai Palestin dan saksi.

Tindakan itu berlaku ketika Presiden Persatuan Antarabangsa Sarjana Genosid (IAGS) mengesahkan pihaknya meluluskan resolusi yang menyatakan kriteria undang-undang telah dipenuhi untuk mengklasifikasikan tindakan Israel di Gaza sebagai genosid.

Tiada maklum balas segera daripada pihak Israel berhubung operasi ketenteraan terbaharu itu mahupun kenyataan IAGS.

Israel sebelum ini menafikan dakwaan bahawa tindakannya di Gaza bersifat genosid.

Tentera Israel sebaliknya memaklumkan bahawa mereka masih meneruskan pertempuran dengan Hamas di seluruh Gaza, termasuk menyerang beberapa struktur dan pos ketenteraan yang didakwa digunakan untuk melancarkan serangan terhadap tenteranya.

Penduduk tempatan berkata, tentera Israel menghantar kenderaan berperisai lama ke kawasan sesak di Sheikh Radwan sebelum meletupkannya dari jauh, memusnahkan beberapa rumah dan memaksa lebih ramai keluarga meninggalkan kediaman.

Dalam risalah yang dijatuhkan dari udara, tentera Israel menggesa penduduk Bandaraya Gaza berpindah ke selatan segera, memberi amaran bahawa operasi akan diperluas ke arah barat bandar itu.

“Orang ramai keliru, sama ada tinggal lalu mati, atau pergi tanpa arah tujuan,” kata Mohammad Abu Abdallah, 55, penduduk Sheikh Radwan kepada Reuters.

“Sepanjang malam penuh dengan letupan, dron tidak berhenti berlegar. Ramai meninggalkan rumah kerana takut, manakala sebahagian lagi langsung tidak tahu ke mana hendak dituju,” tambahnya.


Kabinet Keselamatan bersidang

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memanggil mesyuarat Kabinet Keselamatan pada Ahad malam bagi membincangkan rancangan serangan baharu untuk menawan Bandaraya Gaza, yang digambarkannya sebagai kubu kuat Hamas.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata 14 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, maut dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah-rumah di Bandaraya Gaza, ketika kereta kebal rejim itu masuk sebentar ke Sheikh Radwan.

Bagaimanapun, tentera Israel belum mengulas mengenai laporan tersebut.

Menurut pemerhati, serangan besar-besaran dijangka hanya bermula dalam beberapa minggu lagi, dengan Israel mendakwa mahu memastikan penduduk awam dipindahkan terlebih dahulu sebelum operasi darat diperluaskan.

Tentera Israel juga memberi amaran kepada kepimpinan politik bahawa serangan ke atas Bandaraya Gaza berpotensi membahayakan tebusan yang masih ditahan Hamas. Desakan rakyat Israel supaya perang ditamatkan dan tebusan dibebaskan semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Perang ini bermula dengan serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan sekitar 1,200 orang – kebanyakannya orang awam – serta 251 dijadikan tebusan.

Kini hanya 20 daripada 48 tebusan yang masih dipercayai hidup.

Sehingga kini, lebih 63,000 orang – majoritinya penduduk awam – terbunuh akibat serangan Israel di Gaza, menurut pegawai kesihatan tempatan. Krisis kemanusiaan semakin meruncing, manakala sebahagian besar wilayah itu kini musnah.

Rundingan gencatan senjata yang berakhir Julai lalu kekal buntu, dan usaha menghidupkannya semula setakat ini masih gagal. - Agensi






#Perang Israel-Hamas #kereta kebal #kawasan penempatan #serangan udara