DUNIA
Israel lakukan genosid perubatan di Gaza - Pakar PBB

Tindakan Israel memusnahkan sistem kesihatan di Semenanjung Gaza secara sengaja disifatkan sebagai "genosid perubatan". - Foto fail/REUTERS
NEW YORK: Tindakan Israel memusnahkan sistem kesihatan di Semenanjung Gaza secara sengaja disifatkan sebagai "genosid perubatan" dengan menyerang dan menyebabkan kebuluran petugas kesihatan, paramedik serta hospital bagi menghapuskan perkhidmatan perubatan di wilayah yang dikepung itu, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
"Sebagai manusia dan pakar PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), kami tidak boleh berdiam diri terhadap jenayah perang yang berlaku di depan mata kami di Gaza," kata Pelapor Khas PBB mengenai hak untuk kesihatan Tlaleng Mofokeng dan Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, Francesca Albanese.
"Selain menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan, kami juga menyaksikan satu genosid perubatan - satu faktor penyumbang kepada penciptaan keadaan secara sengaja yang direka untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza, yang merupakan satu perbuatan genosid," kata mereka.
Mereka memberi amaran bahawa rejim apartheid yang menyasarkan rakyat Palestin di wilayah yang diduduki serta serangan berterusan terhadap sistem kesihatan Gaza telah menghabiskan saki-baki sumber di wilayah yang dikepung dan musnah itu."Petugas kesihatan telah berulang kali menjadi sasaran, ditahan dan diseksa, dan kini, seperti penduduk lain, mereka sedang kebuluran," kata mereka.
PBB melaporkan petugas kesihatan telah rebah akibat kekurangan makanan dan kelaparan, satu pelanggaran bukan sahaja terhadap hak mereka untuk mendapatkan kesihatan, malah terhadap kemampuan mereka menjalankan tugas, sekali gus menjejaskan rawatan dan penjagaan pesakit.
Mereka berkata: "Mengabaikan jenayah yang terus dilakukan Israel di Gaza memberi mesej jelas kepada dunia: rakyat Gaza tidak diambil kira dan nyawa mereka tiada nilai. Rakyat Palestin di Gaza sedang dinafikan hak mereka terhadap maruah, kewujudan dan makanan."
"Terdapat kewajipan moral ke atas masyarakat antarabangsa untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai ini dan membolehkan rakyat Gaza hidup di tanah mereka tanpa ketakutan terhadap serangan, pembunuhan, kelaparan atau realiti berterusan pendudukan dan apartheid," kata mereka.
Negara-negara telah gagal dalam tanggungjawab ini, dan rakyat yang terperangkap dalam neraka Gaza membayar harga paling tinggi akibat kegagalan dan sikap tidak peduli ini," kata mereka lagi.
Mereka menggesa gencatan senjata segera, memastikan Israel dipertanggungjawabkan, dan menyelamatkan baki sistem kesihatan Gaza bagi mengelakkan penghapusan penduduknya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami