DUNIA
Israel larang Mufti Besar Baitulmaqdis masuk Masjid Al-Aqsa

Pihak berkuasa Israel melanjutkan larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa terhadap Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Mohammed Hussein, susulan khutbah beliau yang mengkritik dasar Israel di Gaza. - Gambar FB HAZA Media
PIHAK berkuasa Israel pada Rabu bertindak melanjutkan larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa terhadap Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Mohammed Hussein, susulan khutbah beliau yang mengkritik dasar Israel di Gaza.
Menurut peguam Sheikh Hussein, larangan awal selama lapan hari itu kini dilanjutkan sehingga enam bulan, sekali gus menghalang tokoh agama tersebut daripada memasuki tapak suci di Baitulmaqdis Timur.
Larangan tersebut dikenakan selepas khutbah Jumaat pada hujung Julai lalu, di mana Sheikh Hussein mengecam dasar kebuluran yang dikenakan Israel terhadap dua juta penduduk Palestin di Gaza, lapor agensi berita Wafa.
Beliau kemudiannya dipanggil pihak berkuasa Israel pada 27 Julai sebelum diserahkan perintah pengusiran selama lapan hari dari kawasan masjid – yang kini telah diperbaharui.Tindakan Israel itu turut mendapat kecaman Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin yang menyifatkan larangan tersebut sebagai cubaan terancang untuk menyingkirkan tokoh agama daripada Masjid Al-Aqsa.
“Larangan terhadap mufti ini adalah usaha jelas pihak penjajah untuk mengosongkan Al-Aqsa daripada kehadiran tokoh agama yang lantang menentang perancangannya, sekali gus mencerminkan skala pelanggaran Israel di Gaza, Tebing Barat dan khususnya di Masjid Al-Aqsa,” menurut kenyataan kementerian berkenaan. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami