BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengakui kerajaan negaranya masih berusaha memindahkan penduduk Palestin keluar dari Semenanjung Gaza, sambil mendakwa cadangan itu hanya dibekukan sementara oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut laporan media Israel, Katz berkata pemindahan penduduk Gaza yang sering digambarkan oleh beberapa pemimpin Israel sebagai “penghijrahan sukarela” kekal sebagai satu-satunya penyelesaian jangka panjang bagi wilayah berkenaan.
“Pada akhirnya, tiada penyelesaian sebenar untuk Gaza tanpa penghijrahan itu,” katanya ketika berucap pada satu persidangan yang dianjurkan penerbitan Israel, Ynet, pada Rabu.
Kenyataan itu dibuat ketika kumpulan hak asasi Palestin terus menuduh Israel berusaha mengosongkan Gaza daripada penduduk asalnya menerusi perang yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, beberapa pemimpin kanan berhaluan kanan di Israel secara terbuka menyokong cadangan memindahkan penduduk Palestin dari Gaza.
Trump juga pernah menyuarakan sokongan terhadap idea itu pada awal pentadbirannya dengan mencadangkan AS mengambil alih wilayah berkenaan selepas penduduk Palestin dipindahkan.
Cadangan itu bagaimanapun menerima bantahan meluas daripada negara-negara Asia Barat, termasuk beberapa sekutu Washington.
Susulan itu, Trump menaja satu perjanjian gencatan senjata yang menegaskan hak rakyat Palestin untuk terus tinggal di tanah mereka.
Perjanjian 12 perkara itu menyatakan tiada siapa akan dipaksa meninggalkan Gaza, dan mereka yang memilih untuk keluar bebas berbuat demikian serta dibenarkan kembali.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, Israel dituduh terus menyekat penghantaran bantuan dan usaha pembinaan semula di Gaza, selain melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas wilayah tersebut.
Katz berkata kerajaan Israel bersedia menggunakan “apa jua cara”, termasuk laluan laut dan udara, untuk melaksanakan rancangan berkenaan.
Bagaimanapun, Mesir yang bersempadan dengan Gaza dilaporkan enggan menerima pelarian Palestin, sekali gus menyukarkan pelaksanaan cadangan tersebut.
Menurut beliau, beberapa negara lain mungkin bersedia menerima penduduk Palestin yang dipindahkan, namun langkah itu memerlukan sokongan penuh daripada AS.
“Buat masa ini, Trump tidak membatalkannya, sebaliknya hanya membekukannya,” katanya.
Katz turut mendakwa cadangan itu masih dibincangkan secara berterusan dalam kalangan pihak berkaitan.
Sementara itu, Senator Demokrat AS, Chris Van Hollen, mengkritik kenyataan Katz dan mendakwa ia mengesahkan kebimbangan bahawa terdapat usaha untuk mengosongkan Gaza daripada penduduk Palestin.
Van Hollen berkata beliau bersama Senator Jeff Merkley pernah memberi amaran mengenai perkara itu selepas melawat kawasan sempadan Gaza-Mesir tahun lalu.
“Kini Menteri Pertahanan Israel sendiri mengesahkan itulah matlamatnya. Kita mesti menghentikan sebarang keterlibatan dalam perkara ini,” katanya menerusi media sosial.
Pada Julai lalu, Trump mengumumkan satu cadangan yang disokong AS untuk melucutkan senjata Hamas sebagai sebahagian daripada proses yang merangkumi pengunduran tentera Israel dan penamatan serangan di Gaza.
Namun, Israel menolak cadangan itu dengan alasan tidak akan membuat sebarang konsesi sehingga Gaza dinyahketenteraan sepenuhnya.