DUNIA

Israel mengundang takdir pahit dan pedih - Pemimpin Tertinggi Iran

Bernama 13/06/2025 | 06:45 MYT
Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengecam serangan udara Israel ke atas Iran, menyifatkannya sebagai jenayah yang akan membawa "takdir pahit dan pedih" kepada rejim Zionis. - Gambar fail/ AP
TEHRAN: Pemimpin Revolusi Islam Ayatollah Seyyed Ali Khamenei berkata rejim Israel mengundang "takdir yang pahit dan pedih" susulan serangan udara ke atas Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).


Ringkasan AI
  • Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengecam serangan udara Israel ke atas Iran, menyifatkannya sebagai jenayah yang akan membawa "takdir pahit dan pedih" kepada rejim Zionis.
  • Serangan tersebut mengorbankan beberapa komander, saintis, serta orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, dengan kerosakan teruk dilaporkan di kawasan kediaman sekitar Tehran dan bandar lain.
  • Pemimpin Iran memberi amaran bahawa Israel akan menerima balasan yang keras, sambil menegaskan perjuangan akan diteruskan oleh pengganti mereka yang terkorban.


Dalam satu perutusan kepada rakyat pada pagi Jumaat, beberapa jam selepas Israel melancarkan serangan ke atas lokasi di Tehran dan bandar-bandar lain, Ayatollah Khamenei berkata rejim Zionis harus bersedia menghadapi hukuman yang keras.

"Kepada Bangsa Iran yang Agung! Rejim Zionis dengan tangan jahat dan berdarahnya telah melakukan jenayah di negara kita yang tercinta dan mendedahkan lagi sifat kejamnya dengan menyerang kawasan kediaman."

"Rejim itu harus menanti balasan yang keras," kata Ayatollah Khamenei dalam perutusan itu.

Beliau berkata beberapa komander dan saintis telah dibunuh dalam serangan berkenaan.

"Pengganti dan rakan seperjuangan mereka akan segera meneruskan tugasan mereka."

"Dengan jenayah ini, rejim Zionis telah menempah satu takdir yang pahit dan menyakitkan buat dirinya sendiri dan pasti akan menyaksikan takdir itu menimpanya," katanya.

Rejim Israel melancarkan serangan ketenteraan di dalam dan sekitar ibu negara Iran, Tehran, serta beberapa bandar lain pada malam Jumaat.

Imej yang tular menunjukkan bangunan kediaman rosak teruk di beberapa lokasi di ibu negara.

Saksi dan wartawan televisyen kerajaan melaporkan mereka melihat mayat wanita dan kanak-kanak antara yang terkorban.

-- BERNAMA

#Israel serang Iran #Ayatollah Seyyed Ali Khamenei #Pemimpin Tertinggi Iran #Iran balas dendam