Skip to main content

Dunia

Israel perlu laksana komitmen Gaza untuk gerakkan pelan hala tuju - Lembaga Keamanan

41768740645_TBGAZA.jpg
Mladenov berkata rakyat Gaza terus hidup dalam 'keadaan yang amat teruk' dan tidak mampu menghadapi satu lagi musim sejuk dalam keadaan semasa. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Israel perlu melaksanakan komitmennya di bawah pelan hala tuju keamanan Gaza bagi membolehkan proses itu bergerak ke hadapan, kata Wakil Peringkat Tinggi bagi Gaza di Lembaga Keamanan Nickolay Mladenov, pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ketika berucap pada Forum Hili ketiga di Abu Dhabi, Mladenov berkata kemajuan dicapai berbanding setahun lepas, namun keadaan masih jauh daripada tahap yang diperlukan untuk mencapai penyelesaian politik.

"Kita masih berada pada tahap yang memerlukan kita memastikan perkara yang dipersetujui dilaksanakan dan membawa perubahan ketara kepada kehidupan rakyat di Gaza," katanya.

"Malangnya, kita masih belum sampai ke tahap itu," katanya lagi sambil memaklumkan bahawa perbincangan dengan Israel masih diteruskan mengenai pelaksanaan komitmen pihaknya yang diperlukan untuk menggerakkan proses itu ke hadapan, merujuk kepada pengunduran Israel sebagai pertukaran dengan pelucutan senjata Hamas dan permulaan usaha pembinaan semula di wilayah Palestin itu.

Mladenov berkata rundingan dengan Hamas mengenai pelucutan senjata berlangsung selama tujuh bulan, disifatkannya sebagai "perbincangan yang amat sengit dan sukar", sambil memuji usaha pengantaraan Turkiye, Mesir dan Qatar, serta sokongan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara serantau lain.

Beliau berkata rakyat Gaza terus hidup dalam "keadaan yang amat teruk" dan tidak mampu menghadapi satu lagi musim sejuk dalam keadaan semasa.

Mladenov menggariskan tiga kemungkinan iaitu mengekalkan keadaan semasa, memperluas operasi ketenteraan Israel dan menduduki semula Gaza atau melaksanakan pelan hala tuju Lembaga Keamanan.

Beliau menyifatkan pilihan ketiga sebagai pilihan yang "munasabah" dengan mengatakan ia memerlukan pelucutan senjata melalui persetujuan, pengunduran Israel yang dipersetujui serta usaha pembinaan semula dengan sokongan antarabangsa dan serantau.

Mladenov memberi amaran bahawa kegagalan memajukan pelan hala tuju itu boleh menjadikan penyelesaian dua negara "hampir mustahil" untuk direalisasikan.

"Satu-satunya cara untuk kita membina semula ke arah itu adalah dengan memastikan wujudnya pemerintahan peralihan, pelucutan senjata dan pengunduran dari Gaza," katanya.

Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari sebagai sebahagian daripada rancangan lebih menyeluruh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk Gaza, dengan Trump berkhidmat sebagai pengerusinya.

Inisiatif itu, yang disokong Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dipertanggungjawabkan untuk menyelia peralihan Gaza termasuk aspek pemerintahan, keselamatan dan pembinaan semula.

Sebuah badan teknokratik Palestin, Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza, turut ditubuhkan untuk mengambil alih tanggungjawab pentadbiran awam, memulihkan perkhidmatan awam serta membina semula institusi di wilayah berkenaan.

Pada 31 Julai, Lembaga Keamanan mengeluarkan pelan hala tuju bagi melaksanakan fasa seterusnya rancangan Gaza, termasuk pelucutan senjata Hamas, pengunduran Israel secara berperingkat, penyerahan pentadbiran kepada jawatankuasa teknokratik Palestin, penempatan pasukan penstabilan antarabangsa serta usaha pembinaan semula.

Forum Hili ketiga berlangsung di Abu Dhabi dengan tema "Teluk di Persimpangan: Konflik, Kesan dan Pembetulan Haluan." 

Forum itu dianjurkan bersama oleh Pusat Kajian Strategik dan Penyelidikan Emirates serta Akademi Diplomatik Anwar Gargash.

 -- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement