DUNIA

Israel perlu patuhi undang-undang perlindungan orang awam - PBB

Bernama 17/07/2025 | 04:00 MYT
Fletcher menegaskan bahawa keperluan kemanusiaan yang mendesak di Gaza mesti dipenuhi tanpa menjadikan orang awam sebagai sasaran. - Gambar/ Reuters
NEW YORK: Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher pada Rabu menegaskan bahawa Israel perlu mematuhi prinsip dan undang-undang yang sama seperti semua negara lain dalam soal perlindungan orang awam, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Penolong Setiausaha Agung PBB, Tom Fletcher, menegaskan bahawa Israel mesti dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa seperti negara lain, termasuk melindungi orang awam, membebaskan tebusan dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk secara besar-besaran ke Gaza.
  • Fletcher mengkritik tindakan Israel yang menyekat bantuan, menggunakan kebuluran sebagai senjata perang, dan merancang pemindahan paksa rakyat Palestin, sambil menyatakan bahawa sistem kesihatan dan bekalan asas di Gaza telah lumpuh sepenuhnya.
  • Beliau menyeru Majlis Keselamatan PBB untuk menilai sama ada Israel memenuhi tanggungjawabnya sebagai kuasa pendudukan, dan sama ada halangan yang dikenakan terhadap petugas kemanusiaan membolehkan bantuan disalurkan secara adil dan berkesan.


Negara dan kumpulan bersenjata perlu menghormati peraturan - yang diwujudkan susulan kengerian peperangan dan kebencian - bagi melindungi orang awam semasa konflik, kata Fletcher pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi kemanusiaan di Gaza.

"Hari ini, di seluruh dunia, kita melihat peraturan ini semakin terhakis. Sudah tentu, terserah kepada anda (ahli Majlis Keselamatan) untuk menentukan tindakan bagi memastikan semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Namun saya bersetuju dengan beberapa anggota Kabinet Israel bahawa anda terlalu meletakkan harapan kepada keupayaan untuk memujuk secara senyap," katanya.

"Kita mengikat semua pihak kepada piawaian undang-undang antarabangsa dalam konflik ini. Kita tidak perlu memilih - malah tidak boleh memilih - antara menuntut pengakhiran kebuluran terhadap orang awam di Gaza dan menuntut pembebasan tanpa syarat semua tebusan. Dan kita mesti menolak antisemitisme. Kita mesti menentangnya sepenuh hati. Tetapi kita juga mesti memastikan Israel dipertanggungjawabkan mengikut prinsip dan undang-undang yang sama seperti negara lain," katanya lagi.

Fletcher menegaskan bahawa orang awam mesti dilindungi di mana sahaja mereka berada, tebusan mesti dibebaskan, bantuan kemanusiaan perlu dibenarkan masuk secara besar-besaran, dan petugas kemanusiaan mesti dilindungi.

Beberapa minggu lalu, seorang menteri Israel menyifatkan kemasukan bantuan ke Gaza sebagai "keputusan yang membawa malapetaka", manakala seorang lagi menteri menyatakan bahawa kebuluran mungkin "wajar dan bermoral" sehingga semua tebusan dibebaskan, kata Fletcher.

"Menggunakan kebuluran orang awam secara sengaja sebagai kaedah peperangan merupakan jenayah perang."

Beliau turut memetik kenyataan Menteri Pertahanan Israel yang baru-baru ini berbicara secara terbuka tentang rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin iaitu yang disebut sebagai "bandar kemanusiaan".

"Kami faham bahawa cadangan itu adalah untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa ke zon yang ditetapkan berhampiran Rafah. Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya, tetapi ini bukan tindakan kemanusiaan," tegasnya.

Fletcher memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di Gaza kini amat kritikal. Kadar kebuluran dalam kalangan kanak-kanak mencapai tahap tertinggi pada Jun, dengan lebih 5,800 kanak-kanak perempuan dan lelaki didiagnosis mengalami kekurangan zat makanan akut.

Minggu lalu, beberapa kanak-kanak dan wanita terbunuh dalam serangan ketika mereka sedang beratur mendapatkan makanan tambahan untuk terus hidup.

Sistem kesihatan telah lumpuh sepenuhnya. Hanya 17 daripada 36 hospital dan 63 daripada 170 pusat penjagaan kesihatan primer masih beroperasi, itu pun secara terhad, ketika jumlah mangsa yang cedera meningkat setiap hari. Sistem bekalan air dan sanitasi musnah, manakala krisis bekalan bahan api di Gaza kekal pada tahap kritikal.

Fletcher menegaskan bahawa keperluan kemanusiaan yang mendesak di Gaza mesti dipenuhi tanpa menjadikan orang awam sebagai sasaran. Israel, sebagai kuasa pendudukan, bertanggungjawab memastikan rakyat mendapat makanan dan ubat-ubatan, tetapi perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, orang awam terus terdedah kepada kematian, kecederaan, pemindahan paksa dan kehilangan maruah.

"Terpulang kepada anda (ahli Majlis Keselamatan) untuk membuat penilaian. Tetapi kita tidak perlu berdebat sama ada membunuh orang awam yang sedang beratur untuk keperluan hidup menepati tanggungjawab untuk menjaga kebajikan orang awam," katanya, merujuk kepada kaedah pengagihan bantuan secara ketenteraan yang dijalankan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) - entiti yang dikendalikan oleh Amerika Syarikat dengan kelulusan pihak berkuasa Israel.

Bertentangan dengan amalan norma kemanusiaan antarabangsa yang menetapkan pengagihan bantuan dalam komuniti tempatan, GHF hanya mewujudkan empat lokasi di seluruh Gaza, semuanya terletak dalam zon tentera Israel yang terhad, iaitu orang awam yang kelaparan perlu memasuki lorong berpagar di bawah kawalan ketat pengawal keselamatan bersenjata. Keadaan itu sering mengakibatkan kekecohan dan tembakan.

Fletcher berkata petugas kemanusiaan berdepan pelbagai halangan akses yang diwujudkan oleh pihak berkuasa Israel, yang turut menyukarkan penghantaran bantuan ke Gaza.

Dengan halangan sedemikian, bantuan mungkin tidak sampai ke titik agihan PBB, dan jika sampai sekalipun, pengagihannya secara besar-besaran kepada mereka yang memerlukan masih belum dapat dipastikan, katanya.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengarahkan Israel mengambil langkah segera dan berkesan bagi membolehkan penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.

"Dengan semua fakta ini di hadapan anda, saya minta anda sebagai majlis ini untuk menilai sama ada Israel memenuhi tanggungjawab undang-undangnya di peringkat antarabangsa dan sama ada kami sebagai petugas kemanusiaan boleh melaksanakan mandat kami. Adakah ini membenarkan dan memudahkan laluan pantas serta tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan yang tidak memihak, seperti yang dituntut undang-undang perang? Atau ini satu bentuk halangan? Anda tentukanlah sendiri," katanya.

-- BERNAMA


#Genosid Gaza #PBB #kekejaman israel #Tom Fletcher