KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat telah meningkatkan tekanan ke atas Israel apabila Presiden Joe Biden menggesa sekutunya itu untuk lebih ‘berhati-hati’ dan cuba meminimumkan kematian rakyat Palestin di Gaza.

Agensi berita AP melaporkan Biden berkata, Israel perlu memperhebatkan langkah dalam melindungi rakyat awam, tanpa mengabaikan fokus ke atas pejuang kebebasan Palestin iaitu Hamas.

“Saya mahu mereka (Israel) memberi tumpuan kepada bagaimana hendak menyelamatkan nyawa orang awam. Tidak bermaksud berhenti menyerang Hamas, tetapi perlu lebih berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas ditanya jika Israel perlu mengurangkan kempen ketenteraannya di Gaza.

Komen Biden hadir selepas Penasihat Keselamatan Nasional AS, Jake Sullivan bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan lain-lain anggota Kabinet Perang Israel, untuk berbincang langkah peralihan kepada operasi ketenteraan yang lebih bersasar di Gaza.

Media antarabangsa melaporkan Sullivan dan Netanyahu berbincang mengenai objektif, fasa, serta syarat penetapan untuk peralihan daripada operasi pembersihan berintensiti tinggi kepada skala lebih rendah terhadap Hamas.

Jurucakap White House, John Kirby kemudiannya berkata, Sullivan turut berbincang fasa peralihan kepada operasi ketenteraan berintensiti rendah pada masa hadapan, tetapi pentadbiran tidak meletakkan tempoh masa untuk peralihan tersebut.

Kirby berkata Washington mahu peperangan itu berhenti secepat mungkin, tetapi Hamas mempunyai tanggungjawab penuh untuk menghentikan konflik tersebut.

Agensi berita Al-Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 18,000 rakyat Palestin terkorban, termasuk lebih daripada 7,700 kanak-kanak, sejak bermulanya konflik pada 7 Oktober lepas.

Pada Selasa, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyokong resolusi bersifat tidak mengikat, atau non-binding, supaya gencatan senjata dilakukan di Gaza.

Resolusi tersebut disokong 153 negara termasuk Malaysia, manakala 10 lagi negara termasuk AS menentangnya.