DUNIA

Israel sasar pegawai kanan Hamas dalam serangan maut di Gaza

Astro Awani 13/12/2025 | 22:15 MYT
Rakyat Palestin memeriksa lokasi serangan Israel ke atas sebuah kereta di Bandaraya Gaza. - Foto REUTERS
BANDARAYA GAZA: Tentera Israel mengesahkan telah membunuh seorang pegawai kanan Hamas dalam satu serangan udara ke atas sebuah kenderaan di Bandaraya Gaza pada Sabtu, yang turut meragut nyawa tiga individu lain.

Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), serangan itu menyasarkan Raed Saad, komander kanan Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas.

Saad dikenali sebagai antara perancang utama serangan 7 Oktober 2023 ke atas komuniti Israel di timur Gaza, dan dikatakan memegang jawatan penting dalam Majlis Kepimpinan Tentera Hamas yang baru dibentuk selepas gencatan senjata Oktober lalu.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza yang dikendalikan Hamas, Mahmoud Basal, berkata kepada media, empat orang terbunuh dalam serangan tersebut, manakala beberapa orang awam turut cedera akibat letupan itu.

Bagaimanapun, pihak Hamas belum mengesahkan secara rasmi kematian Saad setakat ini.

Serangan itu berlaku ketika ketegangan terus memuncak di Gaza, dengan laporan berterusan mengenai pelanggaran gencatan senjata oleh tentera Israel.

Sejak Oktober, lebih 380 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam pelbagai serangan udara dan darat di wilayah tersebut.

Israel berkata kematian Saad akan “melemahkan keupayaan Hamas untuk membina semula kekuatan ketenteraannya” dan menyifatkan beliau sebagai antara pegawai kanan veteran terakhir yang masih aktif di Gaza serta sekutu rapat Marwan Issa, timbalan ketua sayap ketenteraan Hamas.




#Israel #serangan udara #Hamas #Raed Saad