RAMALLAH: Tentera Israel pada Jumaat menyerahkan mayat tiga rakyat Palestin yang dibunuh lebih 50 hari lalu kepada pihak Palestin.

Hasil koordinasi pejabat perhubungan Palestin bagi penyelarasan keselamatan dengan Israel, ketiga-tiga jasad itu telah diserahkan kepada pihak Palestin di pusat pemeriksaan tentera Israel berhampiran bandar Nablus, utara Tebing Barat, lapor Xinhua memetik kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Agensi berita WAFA Palestin mengenal pasti mangsa sebagai Odai Shami, Jihad Shami dan Mohammad Dabik, yang dibunuh tentera Israel pada 12 Mac ketika mereka berada di dalam sebuah kereta berhampiran pusat pemeriksaan tentera Israel di Sarra dekat Nablus.

Mayat mereka telah dibawa pergi tentera Israel sejak itu.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Palestin pada November tahun lalu, Israel menahan lebih 110 mayat warga Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel sejak 2015, termasuk 10 kanak-kanak bawah umur, lapan banduan dan tiga wanita.

Pihak Berkuasa Palestin juga memaklumkan 256 rakyat Palestin yang terbunuh akibat konflik dengan Israel sejak 1967 telah dikebumikan di tanah perkuburan di utara Israel.

Menurut angka rasmi Palestin, ketegangan antara Israel dan Palestin telah mengorbankan lebih 100 rakyat Palestin sejak Januari.

Sementara itu, sumber Israel memaklumkan seramai 19 warga Israel terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh rakyat Palestin di Tebing Barat.

-- BERNAMA