DUNIA

Israel serang bangunan Kementerian Luar Iran di Tehran

Agensi 16/06/2025 | 00:50 MYT
Kementerian Luar Iran mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel selepas melakukan serangan ke atas bangunannya di Tehran, yang mengakibatkan ramai mangsa cedera, termasuk kakitangan kementerian. - Gambar Reuters
TEHRAN: Kementerian Luar Iran mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel selepas melakukan serangan ke atas bangunannya di Tehran, yang mengakibatkan ramai mangsa cedera, termasuk kakitangan kementerian.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh menyifatkan serangan itu sebagai tindakan sengaja dan kejam yang dilakukan oleh “rejim jenayah Israel.”

“Kecederaan yang berlaku melibatkan beberapa rakan sekerja saya, yang telah dipindahkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” kata Khatibzadeh yang mengetuai badan pemikir dasar luar kementerian, Institut Kajian Politik dan Antarabangsa (IPIS).

Serangan ini menambah ketegangan antara kedua-dua negara, dengan Iran berikrar akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap serangan tersebut.

Sementara itu, Tentera Israel mendakwa, telah melancarkan serangan ke atas tapak peluru berpandu di Iran, dalam serangan terbaharu.

Jurucakap tentera Israel, Nadav Shoshani dalam satu hantaran di platform X berkata, pihaknya sedang bertindak terhadap ancaman di ruang udara Israel dan ruang udara Iran.

Serangan ini memberi isyarat berlaku peningkatan ketegangan antara Israel dan Iran, dengan kedua-dua pihak terus melancarkan tindakan ketenteraan terhadap satu sama lain. - Agensi







#Israel #Iran #serangan #Kementerian Luar Iran