[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

Israel serang Iran: Apa yang kita tahu setakat ini

Amirul Aiman 13/06/2025 | 06:19 MYT
Sebuah bangunan terbakar selepas diserang di Tehran pada awal pagi Jumaat, 13 Jun 2025, ketika Israel melancarkan Operasi Rising Lion menyasarkan fasiliti nuklear dan ibu pejabat tentera Iran. - Gambar/ AP
KUALA LUMPUR: Israel pada Jumaat melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran, menyasarkan kemudahan nuklear di Natanz, kilang peluru berpandu, serta ibu pejabat Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Tehran.
Serangan yang dinamakan “Operation Rising Lion” itu menjadi titik kemuncak kepada ketegangan nuklear yang kian memuncak sejak beberapa bulan lalu.
Serangan bermula awal pagi
Letupan besar menggegarkan Tehran sekitar 5.30 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia), diikuti siren amaran serangan udara.
Natanz, lokasi utama pengayaan uranium Iran, turut menjadi sasaran awal.
Media tempatan melaporkan beberapa kawasan perumahan turut terjejas.
Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan pelancaran Operasi Rising Lion, menyasarkan lebih 20 lokasi strategik, termasuk tapak peluru berpandu dan fasiliti nuklear.
Beliau menyifatkan operasi ini sebagai “usaha untuk menghapuskan ancaman nuklear Iran” dan memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan boleh berlanjutan selama beberapa hari.
Kematian tokoh penting Iran
Iran mengesahkan kematian Komander IRGC, Hossein Salami, dalam serangan tersebut.
Dua tokoh penting dalam program nuklear negara itu, Dr Fereydoun Abbasi dan Prof Mohammad Mehdi Tehranchi turut terbunuh dalam serangan berasingan.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan serangan Israel sebagai “jenayah perang” dan berikrar untuk membalas “dengan hukuman yang setimpal”.
Mengapa sekarang?
Ketegangan tercetus selepas rundingan nuklear di Oman gagal mencapai kata sepakat minggu lalu.
Amerika Syarikat sebelum ini memberi amaran bahawa Iran “semakin hampir” mencapai keupayaan nuklear tahap senjata.
Dalam satu kenyataan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata Israel berhak bertindak jika ancaman terhadap keselamatannya berterusan.
Tindak balas Iran
Beberapa jam selepas serangan Israel, Iran melancarkan lebih 100 dron bersenjata ke arah wilayah Israel.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melaporkan bahawa sistem pertahanan udara, termasuk Iron Dome, berjaya memintas sebahagian besar ancaman, namun kebimbangan terhadap eskalasi lebih besar semakin meningkat.
Israel turut mengisytiharkan darurat kebangsaan dan menutup Lapangan Terbang Ben Gurion, manakala Iran, Iraq dan Jordan menutup ruang udara masing-masing bagi mengelak risiko serangan rentas sempadan.
Reaksi antarabangsa
Amerika Syarikat menegaskan bahawa mereka tidak terlibat secara langsung.
Setiausaha Negara Marco Rubio berkata Washington komited melindungi tenteranya di Asia Barat.
Manakala, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak menahan diri dan mengelak sebarang tindakan yang memburukkan keadaan.
Arab Saudi pula menyifatkan serangan Israel sebagai pelanggaran kedaulatan Iran.
Malaysia melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan Israel, menyifatkannya sebagai “tindakan melulu dan berbahaya” yang menggugat kestabilan rantau tersebut.
Negara jiran, Indonesia menyuarakan kebimbangan bahawa ketegangan ini boleh menggugat kestabilan serantau dan menggesa penyelesaian secara diplomatik.
Malah, Australia melalui Menteri Luarnya, Penny Wong, menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap peningkatan konflik.
Gangguan ekonomi dan penerbangan
Harga minyak mentah Brent melonjak lebih 9% susulan ketegangan ini, manakala pasaran saham Asia menyaksikan kejatuhan mendadak apabila pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas dan dolar AS.
Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Emirates, Lufthansa dan Air India telah menukar laluan penerbangan untuk mengelak ruang udara Asia Barat, sekali gus menyebabkan kelewatan dan peningkatan kos operasi.
Apa seterusnya?
Penganalisis menjangkakan konflik ini belum menunjukkan tanda reda.
Israel memberi bayangan bahawa operasi ketenteraan akan diteruskan sehingga “ancaman nuklear Iran dapat dilumpuhkan sepenuhnya”.
Iran pula berikrar untuk membalas, sambil menegaskan bahawa program nuklear mereka adalah untuk tujuan aman.
Rundingan nuklear yang dijadual berlangsung hujung minggu ini di Muscat kini dilihat goyah, manakala masyarakat antarabangsa menyeru agar ruang diplomasi tidak tertutup sepenuhnya.
#Israel #Iran #Tehran #Operation Rising Lion #Israel serang Iran #terkini