DUNIA
Israel serang Iran: Komander kanan, saintis terkemuka Iran terbunuh - Laporan

Tehran Times juga melaporkan, Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami, terbunuh dalam serangan yang disasarkan ke atas Tehran. - Gambar fail Reuters
TEHRAN: Beberapa pemimpin kanan Iran, termasuk Ketua Turus Angkatan Tentera dan saintis nuklear negara itu, dipercayai terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan Israel awal pagi Jumaat, menurut laporan media antarabangsa.
Agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan dua saintis nuklear terkemuka – Mohammad Mehdi Tehranchi dan Fereydoun Abbasi turut terkorban dalam serangan tersebut.
Tasnim dan akhbar Tehran Times juga melaporkan, Komander Tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami, terbunuh dalam serangan yang disasarkan ke atas Tehran.
Salami dikatakan terbunuh dalam satu serangan udara di ibu negara Iran pada awal pagi Jumaat.Media rasmi Iran, IRNA dalam masa sama mengesahkan kematian orang awam akibat serangan ke atas kawasan perumahan di Tehran.
“Beberapa individu termasuk wanita dan kanak-kanak syahid dalam serangan ke atas sebuah kompleks kediaman di Tehran,” menurut laporan IRNA.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut diberikan oleh pihak berkuasa Iran atau Israel berhubung jumlah kematian secara rasmi.
Israel juga masih belum mengeluarkan kenyataan terbuka berkenaan laporan kematian pemimpin-pemimpin kanan Iran tersebut.
Serangan berskala besar oleh Israel ke atas Iran bukan sahaja melibatkan serangan udara, malah turut membabitkan operasi sabotaj dan serangan dalaman yang dilaksanakan oleh perkhidmatan perisikan luar negara Israel, Mossad, menurut laporan radio tentera Israel. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami