DUNIA

Israel setuju syarat untuk muktamadkan gencatan senjata 60 hari di Gaza - Trump

Bernama 02/07/2025 | 04:20 MYT
Israel, kata Presiden Trump, telah bersetuju dengan syarat-syarat penting untuk memuktamadkan gencatan senjata 60 hari di Semenanjung Gaza. - Gambar fail AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berkata, Israel bersetuju dengan "syarat-syarat yang diperlukan" bagi memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari di Semenanjung Gaza.
Trump dalam satu kenyataan menerusi platform Truth Social miliknya memaklumkan, wakil-wakilnya mengadakan mesyuarat bersama pegawai-pegawai Israel pada hari sama, lapor Anadolu Ajansi.
"Israel telah bersetuju dengan syarat-syarat penting untuk memuktamadkan gencatan senjata 60 hari dan dalam tempoh itu, kami akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menamatkan perang," katanya.
Trump berkata, Qatar dan Mesir selaku perantara dalam rundingan itu akan menyerahkan "cadangan akhir" kepada kumpulan Palestin, Hamas.
"Saya berharap, demi kebaikan Asia Barat, Hamas menerima perjanjian ini, kerana ia tidak akan jadi lebih baik -- MALAH AKAN JADI LEBIH BURUK," tegas beliau.
Terdahulu pada hari sama, Trump turut memberitahu pemberita, beliau berharap gencatan senjata di Gaza dapat dicapai "pada minggu hadapan."
Beliau juga berkata akan membincangkan isu Gaza dan Iran bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam pertemuan mereka minggu depan di Washington, DC.
-- BERNAMA
#Israel #gencatan senjata #Hamas #Donald Trump #israel serang gaza