Perdana Menteri telah membentangkan RMK13 hari ini. Dapatkan intipati utama di sini
DUNIA

Israel tempatkan dua aktivis kapal bantuan Gaza dalam kurungan bersendirian

Bernama 12/06/2025 | 05:45 MYT
Thiago Avila (kiri) dan Rima Hassan (kanan) telah dipindahkan ke kemudahan penjara yang berasingan dan dikenakan kurungan bersendirian. -Media sosial
ISTANBUL: Israel telah menempatkan dua aktivis antarabangsa dari kapal bantuan ke Gaza dalam kurungan seorang diri, menurut sebuah pertubuhan hak asasi Israel pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Dua aktivis antarabangsa dari kapal bantuan ke Gaza, Thiago Avila dan Rima Hassan, telah ditempatkan dalam kurungan bersendirian oleh pihak berkuasa Israel selepas ditahan ketika cuba memecahkan sekatan laut ke atas Gaza.
  • Thiago Avila dipindahkan ke Penjara Ayalon selepas memulakan mogok lapar, manakala Rima Hassan ditempatkan di Penjara Neve Tirza dalam keadaan tidak berperikemanusiaan kerana menulis "Free Palestine" di dinding penjara.
  • Mereka adalah antara 12 aktivis yang ditahan dari kapal Madleen, yang dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa; empat aktivis termasuk Greta Thunberg telah dihantar pulang, sementara konflik di Gaza terus meragut puluhan ribu nyawa sejak Oktober 2023.


Dalam satu kenyataan pertubuhan hak asasi dan pusat perundangan Adalah memaklumkan bahawa sukarelawan dari Brazil Thiago Avila dan Ahli Parlimen Eropah berketurunan Perancis-Palestin Rima Hassan telah dipindahkan ke kemudahan penjara yang berasingan dan dikenakan kurungan bersendirian.

"Thiago Avila telah ditempatkan dalam pengasingan di Penjara Ayalon berikutan mogok lapar yang dimulakannya sejak dua hari lalu," katanya.

"Rima Hassan pula diletakkan di Penjara Neve Tirza dalam keadaan tidak berperikemanusiaan selepas menulis "Free Palestine" pada dinding Penjara Givon."

Kedua-duanya merupakan antara 12 aktivis antarabangsa yang ditahan pasukan keselamatan Israel di atas kapal bantuan Madleen pada Isnin.

Israel telah menghantar pulang empat aktivis ke negara asal masing-masing pada Selasa, termasuk aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg.

Kapal berdaftar di Britain itu dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa ketika dalam pelayaran ke Gaza dalam usaha untuk memecahkan sekatan tentera laut Israel ke atas wilayah itu, di mana lebih 55,000 orang telah terbunuh dalam serangan kejam rejim Israel sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA




#kapal bantuan ke Gaza #Thiago Avila #Rima Hassan #kurungan bersendirian #madleen