[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Israel terus halang pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza - PBB

Bernama 17/04/2025 | 10:58 MYT
Tremblay (foto) berkata bantuan kemanusiaan tidak memasuki Gaza sejak hampir dua bulan dan menegaskan keperluan kini untuk memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa gangguan. -Gambar fail/Reuters
RAMALLAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa pihak berkuasa pendudukan Israel terus menghalang pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza, dengan menyatakan bahawa bantuan tidak memasuki wilayah itu hampir dua bulan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Ringkasan AI
  • PBB menyatakan bahawa pihak berkuasa pendudukan Israel menghalang pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza, dengan bantuan tidak memasuki wilayah itu hampir dua bulan.
  • Sekatan Israel menjejaskan keupayaan membekalkan ubat-ubatan ke hospital, membahayakan lebih ramai pesakit.
  • Sejak 2 Mac, Israel menyekat kemasukan bekalan penting ke Gaza, menyebabkan bencana kemanusiaan dan krisis kebuluran.

Stephanie Tremblay jurucakap Timbalan Setiausaha Agung PBB dalam sidang media berkata bantuan kemanusiaan tidak memasuki Gaza sejak hampir dua bulan dan menegaskan keperluan kini untuk memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa gangguan.
Beliau berkata para petugas kemanusiaan masih menghadapi kesukaran dalam melaksanakan tugas mereka dan pihak pendudukan hanya membenarkan dua daripada enam operasi bantuan yang dirancang semalam untuk dilaksanakan.
Menurut PBB, sekatan yang dikenakan oleh pihak pendudukan terhadap akses bantuan kemanusiaan menjejaskan keupayaan membekalkan ubat-ubatan ke hospital, sekali gus membahayakan lebih ramai pesakit.
Sejak 2 Mac, pihak pendudukan menyekat kemasukan bekalan penting termasuk makanan dan air ke Semenanjung Gaza selepas menutup pintu masuk sempadan, menyebabkan bencana kemanusiaan dan memburukkan lagi krisis kebuluran.
-- BERNAMA
#bantuan kemanusiaan #Israel #Palestin #PBB #Stephanie Tremblay