[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Israel terus rakus bedil Gaza ketika pemimpin Hamas ke Kaherah cari titik damai

Agensi 12/08/2025 | 22:50 MYT
Penduduk Palestin berebut mendapatkan bekalan bantuan daripada trak yang memasuki Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, melalui Israel, pada Selasa. - Gambar Reuters
KAHERAH: Pesawat dan kereta kebal Israel terus rakus membedil timur Gaza City sepanjang malam, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, menurut saksi dan pasukan perubatan pada Selasa (12 Ogos).

Serangan itu berlaku ketika pemimpin Hamas, Khalil Al-Hayya bersiap sedia untuk mengadakan rundingan di Kaherah bagi menghidupkan semula pelan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Pusingan rundingan tidak langsung di Qatar sebelum ini berakhir buntu pada akhir Julai, dengan Israel dan Hamas saling menuding jari berhubung kegagalan mencapai kemajuan dalam cadangan gencatan 60 hari serta perjanjian pembebasan tebusan.

Israel sebelum ini mengumumkan rancangan melancarkan ofensif baharu bagi menguasai Gaza City, yang pernah ditawannya sejurus selepas perang meletus pada Oktober 2023, sebelum berundur kemudian.

Kritikan global terhadap rancangan perluas kawalan

Pelan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk memperluas kawalan ketenteraan di Gaza, yang dijangka bermula Oktober ini, telah mencetuskan kecaman antarabangsa susulan kemusnahan, pemindahan paksa dan kebuluran yang menjejaskan 2.2 juta penduduk wilayah itu.

Rancangan itu turut menimbulkan kebimbangan di Israel sendiri, apabila Ketua Turus Tentera memberi amaran ia boleh membahayakan tebusan yang masih hidup serta menjadi perangkap maut kepada askar Israel.

Dianggarkan sekitar satu juta rakyat Palestin masih berada di Gaza City dan kawasan sekitarnya.

Menteri Luar dari 26 negara termasuk Britain, Kanada, Australia, Perancis, Jepun, Itali dan Latvia pada Selasa menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza telah mencapai tahap “tidak terbayang” dan menggesa Israel membenarkan bantuan tanpa sekatan.

“Kebuluran sedang berlaku di depan mata kita. Tindakan segera diperlukan untuk menghentikan dan membalikkan keadaan kebuluran ini,” menurut kenyataan bersama mereka yang turut mendesak pembukaan semua lintasan dan laluan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, air, ubat-ubatan, bahan api dan keperluan tempat tinggal segera disalurkan.

Israel menafikan bertanggungjawab terhadap kebuluran itu dan menuduh Hamas mencuri bantuan.

Tel Aviv tuut mendakwa telah meningkatkan penghantaran bantuan, termasuk menghentikan pertempuran di sesetengah kawasan dan menyediakan laluan selamat untuk konvoi bantuan.

Beberapa negara turut melakukan penghantaran bantuan melalui udara, namun, kuasa Barat menegaskan lebih banyak bantuan diperlukan segera.

Rundingan di Mesir

Seorang pegawai Palestin memberitahu Reuters, Hamas bersedia kembali ke meja rundingan dan lawatan pemimpin mereka ke Kaherah pada Selasa adalah untuk mengesahkan pendirian tersebut.

Media rasmi Mesir, Al Qahera News melaporkan, delegasi berkenaan telah tiba “bagi perbincangan mengenai rundingan gencatan senjata.”

Bagaimanapun, perbezaan pendapat kekal, termasuk tahap pengunduran tentera Israel dan isu perlucutan senjata Hamas.

Seorang pegawai Hamas berkata, kumpulan itu bersedia menyerahkan pentadbiran kepada jawatankuasa neutral, namun, enggan melucutkan senjata sebelum penubuhan negara Palestin.

Netanyahu, yang didesak rakan gabungan sayap kanan untuk mengambil alih sepenuhnya Gaza berikrar, perang tidak akan berakhir selagi Hamas tidak dihapuskan.

Korban serangan dan kebuluran meningkat

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 89 rakyat Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam lalu.

Serangan pada waktu malam mengorbankan tujuh orang di dua rumah di daerah Zeitoun, Gaza City, dan empat lagi di sebuah pangsapuri di pusat bandar, menurut pasukan perubatan.

Di selatan Gaza, lima orang termasuk sepasang suami isteri dan anak mereka maut dalam serangan ke atas sebuah rumah di Khan Younis, manakala empat lagi terkorban dalam serangan ke atas kem khemah di Mawasi.

Tentera Israel berkata, mereka sedang menyemak laporan itu, sambil menegaskan pihaknya mengambil langkah untuk meminimumkan korban awam.

Israel mendakwa puluhan pejuang militan telah dibunuh di utara Gaza dalam tempoh sebulan lalu, selain kemusnahan lebih banyak terowong.

Dalam tempoh 24 jam lalu juga, lima lagi rakyat Palestin termasuk dua kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan, menjadikan angka keseluruhan korban kepada 227 orang termasuk 103 kanak-kanak sejak perang bermula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Israel mempertikaikan angka itu.

Perang tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila militan diketuai Hamas membunuh 1,200 orang dan menawan 251 tebusan di selatan Israel. Serangan balas Israel setakat ini telah meragut lebih 61,000 nyawa rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan Gaza. - Agensi







#israel serang gaza #Israel terus rakus #Hamas #gencatan senjata #Khalil Al-Hayya