Skip to main content

Dunia

Israel teruskan serangan udara, bedil artileri di selatan Lubnan di sebalik perjanjian AS

Di daerah Tyre, pesawat perang Israel menyerang bandar Mansouri manakala bedilan artileri menyasarkan Majdal Zoun. - AP
Di daerah Tyre, pesawat perang Israel menyerang bandar Mansouri manakala bedilan artileri menyasarkan Majdal Zoun. - AP

Advertisement

BEIRUT / ISTANBUL: Tentera Israel melancarkan semula serangan udara dan bedilan artileri di beberapa bandar di selatan Lubnan pada Ahad, dalam pelanggaran terbaharu terhadap perjanjian rangka kerja tajaan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada Jun, lapor Anadolu Ajansi, memetik agensi berita rasmi negara itu.

Pesawat perang Israel mengebom bandar Kfar Tebnit di daerah Nabatieh, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).

Di daerah Tyre, pesawat perang Israel menyerang bandar Mansouri manakala bedilan artileri menyasarkan Majdal Zoun, lapor agensi itu.

Pada malam sebelumnya, kawasan antara bandar Mayfadoun dan Zawtar al-Sharqiyah turut mengalami bedilan artileri Israel yang hebat dan bertubi-tubi.

Serangan itu berlaku ketika Israel meneruskan operasi ketenteraannya terhadap Lubnan yang bermula pada 2 Mac dan mengorbankan 4,386 orang serta mencederakan 12,413 yang lain, menurut angka terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Lubnan.

Pada 26 Jun, Beirut dan Tel Aviv menandatangani perjanjian rangka kerja yang ditaja AS di Washington, yang menuntut pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari wilayah Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan yang ditinggalkan oleh tentera Israel.

Tentera Israel terus melancarkan serangan meskipun perjanjian itu dimeterai dan masih menduduki sebahagian wilayah Lubnan, termasuk kawasan yang dikuasainya selama beberapa dekad serta kawasan lain yang dirampas semasa peperangan dan operasi ketenteraan baru-baru ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement