INTERNATIONAL
Israel umum rampas tanah di Gaza
Tentera Israel sedang merampas kawasan yang dikenali sebagai Paksi Morag terletak di antara bandar Rafah dan Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AP
BAITULMAQDIS: Israel umum perluasan besar operasi ketenteraan di Gaza dengan menyatakan kawasan besar di wilayah itu akan dirampas dan ditambah kepada zon keselamatannya, disertai dengan pemindahan besar-besaran penduduk.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tentera Israel sedang merampas kawasan yang dikenali sebagai Paksi Morag terletak di antara bandar Rafah dan Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.
Beliau menjelaskan bahawa langkah itu akan memutuskan hubungan antara Rafah dan Khan Younis.
Ini sekali gus memberi kawalan penuh kepada Israel terhadap paksi kedua di selatan Gaza selain Koridor Philadelphi yang terletak di sepanjang sempadan dengan Mesir.
Tentera Israel turut umum bahawa mereka telah melengkapkan kepungan di kawasan Tel al-Sultan berhampiran Rafah.
Pada Rabu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, turut umum bahawa operasi di Gaza akan diperluaskan untuk membasmi pejuang Hamas dan merampas kawasan besar yang akan ditambah kepada zon keselamatan Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam serangan udara Israel pada Rabu.
Serangan berterusan ini telah menyebabkan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengutuk pembunuhan lebih daripada 1,000 orang sejak gencatan senjata sebelum ini gagal.