DUNIA

ISS mungkin terus digunakan sehingga 2030

Bernama 28/07/2025 | 15:19 MYT
Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dijangka terus beroperasi sekurang-kurangnya sehingga 2030, melepasi tempoh perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang akan tamat pada 2028. - Gambar fail/REUTERS
MOSCOW: Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dijangka terus beroperasi sekurang-kurangnya sehingga 2030, melepasi tempoh perjanjian antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang akan tamat pada 2028, lapor Xinhua.

Ketua Pengarah Roscosmos Dmitry Bakanov dalam satu temu bual bersama saluran TV RBC Rusia pada Isnin berkata sebarang keputusan untuk menamatkan operasi stesen itu harus dibuat secara bersama oleh Rusia dan AS.

"Pada peringkat ini, keputusan bersama antara Roscosmos dan NASA ialah stesen ini masih diperlukan sekurang-kurangnya sehingga 2028 dan kemungkinan besar sehingga 2030," katanya.

ISS yang dilancarkan pada 1998 mempunyai berat kira-kira 435 tan dan boleh mencecah 470 tan apabila disambungkan dengan kapal angkasa. Ia adalah projek multinasional yang melibatkan Rusia, AS, Kanada, Jepun dan 10 negara anggota Agensi Angkasa Eropah iaitu Belgium, Jerman, Denmark, Sepanyol, Itali, Belanda, Norway, Perancis, Sweden dan Switzerland.

-- BERNAMA



#ISS #projek multinasional #kapal angkasaa #tempoh perjanjian