Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mencari kata sepakat dalam membincangkan isu Baitulmaqdis pada sidang kemuncaknya yang bakal berlangsung pada Rabu.

Ini kerana buat masa ini wujud ketidaksepakatan kalangan negara anggota khususnya dalam kalangan negara-negara Liga Arab.

Penganalisis Asia Barat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Kamaruzaman Yusoff berkata Turki selaku pengerusi OIC kali ini perlu mencari titik persefahaman yang utuh bagi menjamin sidang kemuncak luar biasa yang bakal diadakan itu mencapai kesepakatan dan seterusnya membebaskan kota suci umat Islam, Baitulmaqdis dari cengkaman Yahudi.

"Sudah pasti sidang kemuncak itu akan membincangkan isu yang dicetuskan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung Baitulmaqdis.


"Cuma masalah yang ada di depan kita sekarang ini adalah, sejauh mana Turki berjaya pertamanya mengumpulkan kesemua pemimpin-pemimpin utama negara Arab khususnya untuk bersidang di Ankara bagi membincangkan isu yang sangat penting kepada umat Islam ini?

"Terutamanya pemimpin dari Arab Saudi, Mesir, negara-negara Teluk juga pemimpin-pemimpin lain dari Afrika Utara," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pagi tadi.

"Mengapa saya mengatakan demikian adalah kerana pada masa ini kita dapati berlakunya sedikit ketidakseragaman antara pemimpin Turki dengan negara Arab terutamanya berhubung isu Qatar, Yaman dan sebagainya," jelasnya lagi.

Menurut Prof Dr Kamaruzaman kini terpulang kepada kewibawaan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan selaku Pengerusi OIC untuk memastikan sekurang-kurangnya pemimpin Islam bukan Arab dapat memberikan sokongan penuh.

"Keupayaan yang dimiliki Erdogan diharap dapat memastikan sekurang-kurangnya negara Islam bukan Arab dapat menyokong usaha terbaharu OIC itu.

"Antaranya negara seperti Iran, Malaysia, Indonesia, Nigeria, Pakistan dan sebagainya untuk memastikan umat Islam pada kali ini berada pada saf yang baik," jelasnya.

Tambahnya jika ia mampu dicapai maka ia dilihat mampu menggugat keputusan yang telah dibuat Trump dalam isu Baitulmaqdis.

Selain kerjasama dari negara Islam, OIC juga disaran agar mewujudkan kerjasama dengan negaraEeropah bagi melengahkan seterusnya menghentikan usaha oleh pakatan Amerika-Israel tersebut.

Jelas Prof Dr Kamaruzaman perkara yang paling utama yang perlu diputuskan pada sidang kemuncak itu nanti adalah kesatuan negara Islam membatalkan apa yang telah disytihar di Baitulmaqdis dan mendesak negara terlibat khususnya Amerika Syarikat mematuhi undang-undang antarabangsa bagi mencegah pertembungan yang buruk serta tidak dapat dielakkan jika ini tidak dihentikan.