INTERNATIONAL
Isu Gaza: Pemimpin GCC tingkatkan tekanan kepada Trump
Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Trump, Mohammed Bin Salman dan Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa bergambar dengan pemimpin GCC di Riyadh, pada Rabu. - Gambar/ Reuters
RIYADH: Isu Gaza mendapat perhatian lebih besar pada hari kedua lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Asia Barat.
Ringkasan AI
- Isu Gaza mendapat perhatian utama dalam hari kedua lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Asia Barat, dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengetengahkan isu tersebut dalam Sidang Kemuncak AS-GCC.
- Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, menyeru Trump untuk meredakan ketegangan di rantau ini dan mencari penyelesaian yang kekal untuk perjuangan Palestin.
- Lawatan Trump ke Asia Barat dari 13 hingga 16 Mei melibatkan lawatan ke Arab Saudi, Qatar, dan UAE, dan dijangka menjadi titik tolak penting kepada hala tuju dasar luar Washington di rantau tersebut.
Ia selepas pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengetengahkan isu itu dalam Sidang Kemuncak AS-GCC di sini hari ini.
Sidang kemuncak tersebut menyaksikan perbincangan meja bulat antara Trump dan pemimpin enam negara anggota GCC termasuk Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman dalam ucapannya berkata, perjuangan mengecapi keamanan di Palestin adalah selari dengan idea yang digariskan di dalam Inisiatif Keamanan Arab.
“Kami memohon kepada anda Presiden Trump, melalui kerjasama saudara-saudara kami di negara GCC, untuk meredakan ketegangan di rantau ini, dan menamatkan perang di Gaza serta mencari penyelesaian yang kekal dan menyeluruh untuk perjuangan Palestin,” katanya.
Sebelum ini, lawatan Trump ke Arab Saudi mengundang kebimbangan kerana dilihat didominasi oleh agenda pelaburan dan kerjasama ekonomi semata-mata.
Isu Gaza hanya disebut ringkas oleh Trump dalam ucapannya di Forum Pelaburan Arab Saudi-AS pada Selasa.
“Penduduk Gaza berhak mendapat masa depan yang lebih baik.
"Cara mereka dilayan di Gaza, tidak ada tempat di dunia di mana manusia dilayan dengan begitu teruk," kata Trump.
Lawatan Trump ke Asia Barat merupakan lawatan luar pertamanya sejak memegang jawatan presiden pada Januari 2025.
Ia berlangsung dari 13 hingga 16 Mei, melibatkan lawatan ke Arab Saudi, Qatar dan UAE.
Lawatan itu dijangka menjadi titik tolak penting kepada hala tuju dasar luar Washington di Asia Barat, di sebalik persekitaran global yang semakin tidak menentu di rantau itu dan peringkat global.