DUBAI: Selepas tumpuan diberikan kepada isu kewangan iklim pada Isnin, Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 28) pada Selasa memberikan fokus perbincangan kepada isu tenaga dan bahan api fosil.

Bahan api fosil merupakan isu hangat yang mencetuskan ketegangan dalam persidangan yang dipengerusikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga merupakan 10 negara pengeluar minyak terbesar dunia.

Pemerhati isu perubahan iklim menilai dengan teliti kesungguhan UAE meletakkan agenda mengurangkan bahan api fosil dalam dokumen akhir COP28.

Satu laporan saintifik mengenai trend pelepasan tahun 2023 bakal dikeluarkan untuk menilai sama ada wujud perkembangan positif dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

BACA: Abang Johari di COP 28, Dubai untuk ketengah projek hijau Sarawak

Pada Isnin, Presiden COP28 Dr Sultan Al Jaber mengadakan sidang media tergempar bagi menepis laporan The Guardian yang menyiarkan dakwaan bahawa beliau mempertikaikan data sains iklim yang mengaitkan penggunaan bahan api fosil dan peningkatan suhu dunia.

Dr Sultan Al Jaber bercakap kepada media pada COP28 di Dubai, UAE, 4 Dis 2023. - REUTERS

“Saya tegaskan berulang kali di beberapa majlis dan pelbagai platform, yang sains adalah asas panduan untuk kami merangka strategi dalam pengerusian COP28,” ujar Al Jaber pada Isnin.

Beliau juga mengkritik tindakan media yang disifatkan ‘memberi liputan maksimum’ untuk satu kenyataan yang dilaporkan dengan konteks mengelirukan.

Agensi sains iklim PBB menerusi Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim menyatakan usaha besar perlu dilakukan untuk mengurangkan penggunaan bagan api fosil dan menghentikan penggunaan arang batu bagi mengehadkan peningkatan suhu pada 1.5 darjah Celsius menjelang 2050.

COP28 berlangsung sehingga 12 Dis depan di Dubai Expo City.