Skip to main content

Dunia

Itali adakan referendum 2 hari berkaitan pelan reformasi keadilan Meloni

Italian Prime Minister Giorgia Meloni speaks during a joint statement with President of Cyprus Nikos Christodoulides, at Chigi Palace, in Rome, Italy, February 26, 2026. REUTERS/Remo Casilli
Pengkritik mendakwa rancangan Meloni itu boleh menjejaskan kebebasan kehakiman. - Foto Reuters

ROM: Itali memulakan referendum selama dua hari pada Ahad mengenai sama ada perlu melakukan perubahan terhadap sistem kehakimannya, sebuah projek utama kerajaan sayap kanan pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kedua-dua dewan parlimen meluluskan reformasi berkenaan. Bagaimanapun, disebabkan ia memerlukan perubahan kepada perlembagaan, ia mesti dikemukakan untuk undian awam.

Advertisement

Pengkritik mendakwa rancangan itu boleh menjejaskan kebebasan kehakiman.

Reformasi tersebut akan diluluskan jika ia menerima lebih banyak undian "Ya" berbanding "Tidak". Referendum itu juga dilihat sebagai ujian sokongan awam terhadap kedua-dua pihak sayap kanan dan kiri menjelang pilihan raya parlimen akan datang yang dijadualkan pada lewat 2027.

Lebih 46 juta rakyat Itali layak mengundi. Keputusan dijangka diperoleh menjelang petang Isnin.

Penyusunan semula itu merupakan satu daripada inisiatif utama gabungan tiga parti sayap kanan dan konservatif Meloni, yang telah memerintah Itali selama tiga tahun setengah.

Kumpulan politik sayap kanan Itali sekian lama berhujah bahawa sebahagian besar badan kehakiman berpihak kepada sayap kiri. Sementara itu, pihak pembangkang menuduh Meloni cuba meletakkan sistem keadilan di bawah pengaruh politik.

Intipati reformasi itu adalah rancangan untuk memisahkan laluan kerjaya hakim dan pendakwa raya. Ia juga akan memperkenalkan badan kawal selia kendiri baharu bagi kedua-dua kumpulan tersebut, dengan penglibatan parlimen dalam melantik ahli -- yang berpotensi memberi pengaruh lebih besar kepada ahli politik terhadap keputusan pelantikan kakitangan.

Di sebalik pertikaian politik tersebut, terdapat persetujuan luas bahawa sistem keadilan Itali memerlukan reformasi, walaupun pendapat berbeza mengenai cara untuk mencapainya.

Prosiding undang-undang sering mengambil masa yang jauh lebih lama berbanding kebanyakan negara Eropah yang lain, dan menurut satu tinjauan, hanya empat daripada 10 rakyat Itali mempercayai badan kehakiman.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video