DUNIA

Itali tangkap ketua mafia yang lama diburu di pangsapuri rahsia di Naples

Bernama 24/12/2025 | 14:45 MYT
Polis Itali menahan ketua Camorra yang lama diburu di Naples selepas menemuinya bersembunyi di dalam bilik rahsia di sebuah pangsapuri. - Foto hiasan
ROM: Polis Itali menahan ketua Camorra yang lama diburu di Naples selepas menemuinya bersembunyi di dalam bilik rahsia di sebuah pangsapuri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ciro Andolfi, yang tersenarai sebagai antara 100 pelarian paling berbahaya di negara itu oleh Kementerian Dalam Negeri, ditangkap di sebuah pangsapuri di daerah Barra, Naples, kata polis pada Rabu.

Lelaki berusia 49 tahun itu melarikan diri sejak 2022 dan perlu menjalani hukuman penjara selama lapan tahun tiga bulan atas sabitan kesalahan terdahulu, menurut penyiasat.

Antara sabitan kesalahannya termasuk keanggotaan dalam organisasi jenayah jenis mafia, pemerasan ala mafia dan rasuah.

Rakaman video yang dikeluarkan oleh polis Carabinieri menunjukkan pegawai memasuki bangunan itu pada waktu malam sebelum menemui ruang tersembunyi di sebalik dinding bilik. Pintu masuk ke bilik rahsia itu telah disembunyikan di sebalik radiator.

Di sebalik dinding itu, rakaman menunjukkan satu lorong sempit menuju ke tempat persembunyian, yang mengandungi sangkar burung kecil dan patung Virgin Mary.

Geng Camorra beroperasi terutamanya di Naples dan wilayah sekitarnya di Campania. Berbeza dengan kumpulan Cosa Nostra yang mempunyai struktur hierarki, Camorra terdiri daripada kumpulan atau klan autonomi.

-- BERNAMA


#Polis Itali #ketua Mafia #Naples #pangsapuri rahsia