INTERNATIONAL
Jabatan Kesihatan AS mulakan langkah pemberhentian kerja besar-besaran

Pentadbiran Trump telah memberhentikan ribuan pekerja kesihatan persekutuan pada Selasa dalam satu pembersihan yang turut melibatkan pemimpin kanan serta saintis utama. - Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memulakan langkah pemberhentian kerja besar-besaran, melibatkan ribuan staf di pelbagai agensi, lapor Xinhua yang memetik media AS
Pemotongan belanjawan yang ketara dalam beberapa bahagian HHS, termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) serta Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesihatan awam dan penyelidikan saintifik.
"Pentadbiran Trump telah memberhentikan ribuan pekerja kesihatan persekutuan pada Selasa dalam satu pembersihan yang turut melibatkan pemimpin kanan serta saintis utama yang bertanggungjawab mengawal selia makanan dan ubat-ubatan, melindungi rakyat Amerika daripada penyakit serta menjalankan penyelidikan untuk rawatan dan penawar baharu," lapor The New York Times.
Menurut laporan itu, notis pemberhentian mula dikeluarkan seawal pukul 5.00 pagi waktu tempatan (1000 GMT), melibatkan pejabat yang bertanggungjawab dalam pelbagai bidang, termasuk kesihatan global dan keselamatan makanan.Akhbar USA Today melaporkan bahawa kakitangan yang dipecat perlu menyerahkan pas keselamatan mereka di pintu masuk bangunan dan diberikan tiket sebelum diminta pulang.
"Pakar penyakit berjangkit, termasuk yang menangani HIV, berpendapat pemotongan terbaharu dalam HHS akan menjadikan negara ini lebih terdedah kepada penyakit berjangkit dan kronik," menurut laporan itu.
"FDA seperti yang kita kenali kini sudah berakhir, dengan kebanyakan pemimpin yang mempunyai pengetahuan institusi serta pemahaman mendalam mengenai pembangunan dan keselamatan produk tidak lagi berkhidmat," kata bekas Pesuruhjaya FDA, Robert Califf, dalam catatan di LinkedIn.
"Saya percaya sejarah akan melihat ini sebagai satu kesilapan besar," katanya lagi.
HHS pada Khamis mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kira-kira 10,000 kakitangan sepenuh masa sebagai sebahagian daripada usaha "penstrukturan semula".
Termasuk skim persaraan awal dan program pampasan kerajaan, tenaga kerja sepenuh masa jabatan itu akan dikurangkan daripada 82,000 kepada 62,000 orang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami