DUNIA

Jabatan Negara AS bakal hantar notis tamat kerja susulan penstrukturan semula

Agensi 11/07/2025 | 03:45 MYT
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dijangka mula menghantar notis kepada kakitangannya yang terkesan akibat penstrukturan semula dalam masa terdekat.
WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dijangka mula menghantar notis kepada kakitangannya yang terkesan akibat penstrukturan semula dalam masa terdekat.

Timbalan Setiausaha bagi Pengurusan dan Sumber, Michael Rigas, pada Khamis berkata, jabatan itu akan memaklumkan kepada individu yang terlibat dalam proses pengurangan besar-besaran tenaga kerja tidak lama lagi.

Beliau memaklumkan, perkara itu menerusi satu e-mel kepada seluruh warga kerja jabatan itu.

Langkah ini merupakan fasa awal dalam pelan penstrukturan semula yang digerakkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump bagi memastikan dasar luar negara selaras dengan agenda "America First."

Ia dijangka membawa kepada pemotongan ratusan jawatan termasuk pegawai perkhidmatan luar negara yang memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kepentingan Amerika di tengah cabaran daripada kuasa besar seperti China dan Rusia.

Namun demikian, setakat ini, tiada pegawai Jabatan Negara yang mengesahkan tarikh sebenar notis penamatan akan dihantar, namun difahamkan proses itu mungkin bermula seawal Jumaat.

Mahkamah Agung AS sebelum ini telah memberi lampu hijau kepada pentadbiran Trump untuk meneruskan langkah pengurangan tenaga kerja secara besar-besaran di pelbagai agensi persekutuan, yang berpotensi menyebabkan puluhan ribu kehilangan pekerjaan dan merombak struktur birokrasi kerajaan secara drastik.

Februari lalu, Trump telah mengeluarkan satu perintah eksekutif yang mengarahkan Setiausaha Negara, Marco Rubio untuk merombak perkhidmatan luar negara bagi memastikan Dasar Luar Presiden dilaksanakan dengan setia yang mana beliau juga berulang kali menyuarakan hasrat untuk "membersihkan deep state" dengan memecat pegawai kerajaan yang dianggap tidak setia.






#Donald Trump #Marco Rubio #Jabatan Negara Amerika Syarikat #notis tamat kerja #America First