DUNIA

Jabatan Negara AS lulus cadangan jualan peluru berpandu Patriot kepada Arab Saudi

Bernama 31/01/2026 | 04:15 MYT
Cadangan jualan ini akan meningkatkan keupayaan Arab Saudi untuk menangani ancaman semasa dan masa hadapan dengan menyediakan peluru berpandu pertahanan udara canggih. - Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan cadangan jualan peluru berpandu "Patriot Advanced Capability-3 Missile Segment Enhancement" serta peralatan berkaitan kepada Arab Saudi, menurut Pentagon pada Jumaat.

Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan dalam satu kenyataan yang dipetik Anadolu Ajansi memaklumkan bahawa nilai jualan itu dianggarkan berjumlah AS$9.0 bilion.

"Cadangan jualan ini akan meningkatkan keupayaan Arab Saudi untuk menangani ancaman semasa dan masa hadapan dengan menyediakan peluru berpandu pertahanan udara canggih sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu (IAMD) yang telah dinaik taraf, sekali gus memperkukuh keupayaan pertahanan udaranya," menurut kenyataan itu.

Kontraktor utama bagi projek tersebut ialah Lockheed-Martin Corporation yang berpangkalan di Texas.

-- BERNAMA




#Amerika Syarikat #peluru berpandu #Patriot #Arab Saudi