DUNIA

Jadi contoh kepimpinan, Komuniti Islam Itali zahir penghargaan kepada Anwar, Malaysia

Harits Asyraf Hasnan 02/07/2025 | 23:10 MYT
Anwar (dua, kanan) menerima cenderahati selepas mengadakan pertemuan bersama komuniti Islam diketuai oleh Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS), Imam Yahya Pallavicini. - Foto BERNAMA
ROM: Komuniti Islam Itali menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia yang dilihat menjadi contoh kepada komuniti Muslim minoriti di Eropah.


Ringkasan AI
  • Komuniti Islam Itali menghargai kepimpinan Anwar Ibrahim dan Malaysia sebagai contoh untuk Muslim minoriti di Eropah dalam menangani Islamofobia dan diskriminasi.
  • Pertemuan dengan Anwar membincangkan kerjasama memperkukuh pembangunan ummah serta usaha menangani isu Islamofobia secara bijaksana.
  • Anwar menyerahkan al-Quran edisi khas dan 10 naskhah terjemahan bahasa Itali sebagai simbol persaudaraan, sambil memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Itali dalam aspek sosial dan keagamaan.


Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri di sini pada Rabu, Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS), Imam Yahya Pallavicini berkata nilai-nilai kepimpinan yang dibawa Anwar amat bermakna tatkala isu Islamofobia masih mendominasi rantau itu.

“Di sinilah contoh Malaysia dan kepimpinan anda (Anwar) sebagai pemimpin politik Muslim boleh menjadi teladan penting bagi komuniti Muslim minoriti di Eropah, khususnya di Itali.

“Kami ingin menyumbang nilai tambah dari segi budaya dan kerohanian dan kami temui nilai-nilai ini di Malaysia serta Asia Tenggara.

“Meningkatkan kerjasama (Malaysia-Itali), insya-Allah, akan membantu Muslim di Eropah dan Itali untuk mempunyai rakan kongsi serta model dalam menangani Islamofobia, diskriminasi dan salah tafsir yang malangnya masih berlaku dalam krisis antarabangsa dan cabaran semasa,” katanya dalam pertemuan sekitar 15 minit itu.

Imam Yahya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan pihaknya berharap dapat terus membangunkan peluang kerjasama dua hala bersama kerajaan dan pelbagai institusi di Malaysia.

Hadir sama mewakili komuniti itu adalah Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali–Masjid Besar Rom, Abdellah Redouane serta delegasi.

Sementara itu, Anwar menyifatkan pertemuan itu memberi ruang untuk kedua-dua pihak berbincang dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah, termasuk menangani isu Islamofobia secara bijaksana dan berhemah.

“Saya tekankan komitmen Malaysia dalam memartabatkan Islam yang menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian menerusi pendidikan, dakwah serta kerjasama antarabangsa dengan komuniti Islam di Itali,” katanya.

Sebagai tanda ukhuwah, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini serta menyerahkan senaskhah al-Quran edisi khas, selain 10 lagi naskhah terjemahan dalam bahasa Itali sebagai simbol persaudaraan dan penyebaran ilmu.

Lawatan rasmi ini merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia memperkukuh hubungan dua hala dengan Itali, bukan sahaja dalam bidang ekonomi dan industri, tetapi juga dalam aspek sosial dan keagamaan.





#komuniti Islam #Itali #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Malaysia