Jadi pelayan trak makanan, pengunjung terkejut lihat Putera William saji makanan

Agensi
Ogos 1, 2023 00:50 MYT
Ketika pasukan meminta "cef" empat burger Earthshot, Putera William menoleh membuatkan pelanggan yang berada di situ terkejut.- Twitter / The Prince and Princess of Wales
LONDON: Pewaris takhta Britain, Putera William mengejutkan orang ramai yang di sebuah trak makanan di London apabila muncul sebagai pelayan menyaji burger sayuran.
Memetik laporan CNN, Putera William bekerjasama dengan saluran YouTube Sorted Food mencipta burger tanpa daging yang dihasilkan menggunakan inovasi pemenang program Earthshot Prize tahun 2022.
Dalam satu video yang dimuat naik di YouTube, pasukan itu menyediakan burger menggunakan barangan Earthshot yang diserahkan kepada Putera William untuk dihidangkan kepada pelanggan trak makanan.
Ketika pasukan meminta "cef" empat burger Earthshot, Putera William menoleh membuatkan pelanggan yang berada di situ terkejut;
"Daripada semua perkara yang saya jangkakan, bukan itu. Apa yang baru berlaku?,” kata seorang wanita dalam video yang kemudian bertanya kepada orang lain.
"Otak saya mengambil masa seperti tiga saat untuk memproses apa yang terjad. Adakah saya bermimpi? Adakah saya cukup tidur?. Saya kehilangan kata-kata," kata pelanggan di trak makanan itu.
Sementara itu, Putera William memberitahu pelanggan bahawa Earthshot Prize merupakan projek berdurasi 10 tahun yang diasaskan pada 2020 bertujuan untuk membaik pulih bumi.
Hadiah itu mengiktiraf mereka yang menyediakan penyelesaian alam sekitar memandang ke hadapan merentas lima kategori iaitu Melindungi dan Memulihkan Alam Semula Jadi, Bersihkan Udara Kita, Memulihkan Semula Lautan, Ke Arah Dunia Bebas Pembaziran dan Memperbaiki Iklim.
#Putera William #Youtube Sorted Food #Earthshot Prize #YouTube