JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan langkah keselamatan di Jakarta menjelang satu demonstrasi besar-besaran yang dijadual berlangsung pada Khamis, ketika kebimbangan timbul bahawa perhimpunan itu boleh mencetuskan semula ketegangan seperti rusuhan yang melanda ibu negara itu dan beberapa bandar lain tahun lalu.
Menurut laporan Jakarta Globe, ribuan anggota polis telah dikerahkan ke lokasi strategik di sekitar ibu kota bagi memastikan keadaan kekal terkawal sepanjang demonstrasi yang dijangka berlangsung di kompleks Parlimen Indonesia.
Perhimpunan pada 27 Ogos itu dianjurkan oleh Perikatan Komuniti Bersatu Pati (AMPB), yang mendesak kerajaan meluluskan rang undang-undang pelucuthakan aset serta mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan rasuah, termasuk hukuman mati.
Kebimbangan terhadap demonstrasi itu berpunca daripada pengalaman rusuhan yang berlaku pada Ogos dan September tahun lalu.
Ketika itu, gelombang bantahan awam bertukar menjadi keganasan di Jakarta dan beberapa bandar lain susulan kemarahan terhadap isu elaun anggota legislatif, tekanan ekonomi serta kematian seorang pemandu perkhidmatan e-hailing, Affan Kurniawan, yang dilanggar kenderaan perisai polis semasa satu demonstrasi di Jakarta.
Rusuhan berkenaan mengakibatkan pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan, kerosakan kemudahan awam serta tangkapan besar-besaran.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Indonesia (Komnas HAM) merekodkan 11 kematian, manakala polis melaporkan lebih 3,000 individu ditahan.
Beberapa kediaman ahli politik turut menjadi sasaran serangan dan kecurian.
Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai penyebaran kandungan berunsur provokasi di media sosial menjelang himpunan itu, sekali gus meningkatkan kebimbangan dalam kalangan penduduk ibu kota.
Selain peserta dari Jakarta, demonstrasi kali ini dijangka menerima kehadiran penyokong dari beberapa wilayah lain.
Kira-kira 250 penyokong AMPB dilaporkan berlepas dari Pati, Jawa Tengah, ke Jakarta menggunakan lima bas, manakala sekumpulan nelayan dari Jepara turut menyatakan hasrat menyertai perhimpunan tersebut.
Bagaimanapun, penganjur menegaskan demonstrasi itu bertujuan menyuarakan tuntutan rakyat secara aman dan tidak berniat mencetuskan sebarang kekacauan.